Remaja Hilang Sejak 2019 Ditemui Selamat Di Langkawi, Kahwini Warga Asing

LANGKAWI: Teka-teki kehilangan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak tujuh tahun lalu akhirnya terjawab apabila dia ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah rumah di Taman Helang Perdana, Kuah, pada Rabu.

Wanita berusia 21 tahun itu ditemui hasil pemeriksaan yang dilakukan sepasukan polis diketuai Ketua Polis Balai Kuah selepas pihak berkuasa menerima maklumat daripada orang awam sekitar jam 11 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Samsulmuddin Sulaiman berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, wanita berkenaan didapati tinggal di rumah tersebut bersama seorang anak.

Menurut beliau, semakan lanjut terhadap rekod polis mendapati wanita itu masih tersenarai sebagai orang hilang susulan laporan yang dibuat oleh keluarganya di Majidee, Johor Bahru pada tahun 2019.

“Hasil siasatan mendapati wanita itu mengaku meninggalkan rumah keluarganya di Johor Bahru sebelum berpindah dan menetap di Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, wanita berkenaan turut memaklumkan bahawa dia telah berkahwin dengan seorang lelaki warga asing, namun suaminya tidak berada di kediaman tersebut ketika pemeriksaan dilakukan.

Susulan penemuan itu, pihak polis telah menghubungi serta memaklumkan perkara berkenaan kepada ahli keluarganya.

Kisah penemuan wanita yang sekian lama dilaporkan hilang itu turut mendapat perhatian ramai selepas tular di media sosial, sekali gus mengakhiri misteri yang berlarutan sejak 2019.

BBerkaitan

Latest articles