Ops Soga XI: 58 Ditahan, Hampir RM500,000 Nilai Pertaruhan Haram Piala Dunia Dibongkar

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan kegiatan pertaruhan haram dan perjudian dalam talian sempena kejohanan Piala Dunia menerusi Op Soga XI apabila menahan 58 individu dalam siri serbuan di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, seramai 54 lelaki dan empat wanita ditahan hasil 52 serbuan yang dilaksanakan sepanjang operasi bermula 11 Jun hingga 19 Julai lalu.

Menurut beliau, operasi tersebut turut membawa kepada rampasan wang tunai berjumlah RM25,684.65, manakala nilai keseluruhan pertaruhan yang dikesan mencecah RM488,582.47.

Katanya, siasatan turut mendapati sebanyak 42 platform digital termasuk laman web, aplikasi, media sosial dan platform dalam talian digunakan bagi menjalankan aktiviti pertaruhan bola sepak serta mempromosikan perjudian kepada orang ramai.

“Pihak polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi melaksanakan tindakan menyekat laman sesawang serta menurunkan kandungan yang berkaitan dengan aktiviti tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Antara kesalahan yang disiasat ialah di bawah Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM200,000 serta penjara sehingga lima tahun.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda antara RM5,000 hingga RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun, selain denda tambahan bagi setiap mesin perjudian yang dirampas.

M. Kumar berkata, siasatan turut diperluaskan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) bagi mengesan sebarang unsur pengubahan wang haram yang berkaitan.

Beliau menegaskan PDRM akan terus memperhebat operasi dan penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kegiatan perjudian haram, selain memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan.

Pada masa sama, orang ramai diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras aktiviti perjudian dan pertaruhan haram yang semakin aktif di platform digital.

BBerkaitan

Latest articles