TH Pertahan Gelaran Dunia, Raih Diamond Award Dua Tahun Berturut-turut

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya mempertahankan pengiktirafan tertinggi dunia dalam pengurusan haji menerusi Anugerah Labbaitom – Diamond Award bagi kategori Perkhidmatan Jemaah Haji Terbaik Dunia.

Pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi itu merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat Malaysia selepas kejayaan sama diraih tahun lalu, sekali gus menjadikan ia kemenangan kelima negara dalam anugerah berprestij tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zulkifli Hasan menerima anugerah berkenaan daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dalam Program Majlis Penutupan Musim Haji 1446H/2025M lewat malam tadi.

Turut menerima pengiktirafan dalam kategori sama ialah Iraq dan Ethiopia, manakala Malaysia Airlines dinobatkan sebagai Pusat Pengangkutan Terbaik bagi Pengurusan 150 Perjalanan.

Mengulas kejayaan itu, Dr. Zulkifli menyifatkan anugerah berkenaan sebagai bukti keupayaan TH menyediakan perkhidmatan haji bertaraf dunia.

Beliau berkata, kejayaan tersebut didorong oleh pelbagai pembaharuan termasuk penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi haji.

Menurutnya, antara inisiatif yang diperkenalkan ialah program Haji Lestari, kempen kebersihan serta aplikasi e-Taib yang membolehkan jemaah mendapatkan maklumat dan panduan ibadah secara masa nyata menerusi teknologi AI.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan TH, petugas haji, kakitangan kesihatan dan kebajikan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan serta keselesaan jemaah Malaysia sentiasa terpelihara.

Dalam masa sama, TH akan meneruskan budaya penambahbaikan berterusan melalui sesi penilaian dan maklum balas selepas musim haji bagi memastikan mutu perkhidmatan terus dipertingkatkan.

Zulkifli turut menghargai kerjasama erat Kerajaan Arab Saudi dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam menjayakan operasi haji Malaysia tahun ini.

BBerkaitan

Latest articles