KAMPAR, – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan meneliti setiap aduan atau dakwaan yang tular di media sosial melibatkan penjawat awam secara adil dan mengikut prosedur ditetapkan sebelum sebarang tindakan diambil.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata JPA tidak akan membuat keputusan terburu-buru hanya berdasarkan dakwaan atau persepsi yang tersebar di media sosial.
Beliau berkata setiap kes akan melalui proses siasatan dan semakan yang sewajarnya, termasuk mendapatkan penjelasan daripada pegawai yang terlibat.
“Kita tidak terus mengatakan seseorang itu bersalah. Kita akan mendapatkan penjelasan daripada pegawai yang terlibat terlebih dahulu.
“Jika hasil siasatan mendapati pegawai berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan, maka perkara itu akan diselesaikan dan pegawai tersebut dibersihkan daripada sebarang tuduhan,” katanya ketika ditemui di Program Ibadah Korban Kampung Angkat MADANI (KAM) JPA bersama komuniti Kampung Kota Bharu disini, hari ini.
Jelas Mohd Shaiful lahi Bagaimanapun, namun sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran peraturan atau kesalahan disiplin, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut prosedur perkhidmatan awam, termasuk merujuk kes berkenaan kepada Lembaga Tatatertib.
Mengulas tindakan terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu atau fitnah melibatkan penjawat awam dan jabatan kerajaan, Mohd Shaiful berkata tindakan undang-undang boleh diambil bergantung kepada kesan yang ditimbulkan.
Menurut beliau, individu yang terjejas boleh membuat laporan polis, manakala jabatan kerajaan juga boleh mengambil langkah sama sekiranya penyebaran maklumat palsu itu menjejaskan imej dan kredibiliti organisasi.
“Jika terdapat kesan kepada jabatan atau reputasi organisasi akibat penyebaran berita palsu, kita boleh membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan individu yang bertanggungjawab.
“Apabila perkara itu menjejaskan imej jabatan dan kita perlu mempertahankan kredibiliti organisasi, laporan polis akan dibuat dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata sekiranya siasatan mendapati terdapat elemen kesalahan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, kes tersebut boleh dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan.
Mohd Shaiful turut mengingatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial dan tidak mudah menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya kerana tindakan sedemikian boleh memberi kesan kepada individu serta institusi yang terlibat.










