Mayat Reput Dibungkus Tilam Bongkar Misteri Bau Busuk, Polis Siasat Kes Bunuh

MELAKA: Misteri bau busuk yang menghantui sebuah rumah kedai di kawasan Pokok Mangga akhirnya membongkar satu kejadian jenayah dipercayai pembunuhan apabila mayat seorang individu ditemukan dalam keadaan mereput dan dibungkus di dalam lipatan tilam, malam tadi.

Penemuan itu berlaku kira-kira jam 7 malam selepas pemilik premis berkenaan datang membuat pemeriksaan kerana gagal menghubungi penyewa rumah tersebut sejak beberapa ketika.

Sebaik memasuki premis, pemilik terbabit terhidu bau busuk yang kuat sebelum membuat pemeriksaan lanjut dan menemukan mayat berkenaan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati mayat itu sudah berada dalam keadaan hancur dan dipercayai telah meninggal dunia antara dua minggu hingga sebulan lalu.

“Mayat ditemukan dibungkus dalam lipatan tilam dan terdapat petunjuk bahawa kedua-dua tangannya diikat. Berdasarkan keadaan tersebut, polis percaya wujud unsur jenayah dan kes ini disiasat sebagai kes bunuh,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Pengurusan, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah dan Pengerusi PERKEP Daerah Melaka Tengah di Balai Polis Malim, hari ini.

Menurut beliau, identiti serta jantina mangsa masih belum dapat dipastikan berikutan keadaan mayat yang sudah terlalu reput, sekali gus menyukarkan proses pengecaman.

Susulan siasatan yang dijalankan, polis menahan seorang lelaki Melayu berusia lingkungan 40-an yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.

Dzulkhairi berkata, rumah berkenaan disewa oleh seorang wanita untuk didiami anak lelakinya dan polis percaya mangsa mempunyai hubungan atau kaitan dengan individu terbabit.

“Ketika ditahan, suspek berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah dan masih belum dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyiasat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan kini giat dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa serta motif kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

BBerkaitan

Latest articles