GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan untuk membebaskan sepasang lelaki dan wanita tempatan yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, selepas didapati melakukan perbuatan kelucahan melampau di sebuah jirat Cina di Batu Gantung, Ayer Itam, bulan lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Rofiah Mohamad yang membenarkan permohonan semakan dikemukakan pihak pembelaan terhadap hukuman berkenaan.
Mahkamah bagaimanapun mengekalkan sabitan terhadap kedua-dua tertuduh, M. Jegathesan, 58, dan Halila Abu Bakar, 37.
Dalam penghakimannya, Rofiah memutuskan hukuman penjara setahun yang dikenakan sebelum ini digantikan dengan tempoh pemenjaraan bermula dari tarikh tangkapan pada 23 Mac lalu sehingga hari ini, sekali gus menyaksikan pasangan itu dibebaskan selepas selesai menjalani tempoh tahanan.
Menurut beliau, mahkamah tidak mempunyai alasan untuk menolak representasi yang telah dipersetujui antara pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung semakan hukuman tersebut.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muna Mohamed Jaafar memaklumkan bahawa rayuan difailkan pembelaan masih di peringkat pengurusan kes sebelum pihaknya mengemukakan permohonan semakan jenayah.
Katanya, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan agar sabitan dikekalkan namun hukuman diringankan mengambil kira tempoh tahanan yang telah dilalui.
Sementara itu, peguam bela, Datuk Naran Singh berkata pihaknya telah menarik balik notis rayuan sebelum ini dan memilih untuk meneruskan tindakan melalui semakan hukuman.
Beliau menjelaskan bahawa pembelaan menerima keputusan sabitan, namun berpandangan hukuman penjara 12 bulan yang dikenakan adalah terlalu berat memandangkan kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman maksimum dua tahun penjara.
“Representasi dikemukakan kepada pihak pendakwaan dan diterima, dengan cadangan hukuman digantikan kepada tempoh penjara dari tarikh tangkapan hingga hari ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Naran memaklumkan kes berkenaan dikendalikan secara pro bono dan menyifatkan hukuman asal sebagai tidak seimbang dengan kesalahan yang dilakukan.
Terdahulu, pada 26 Mac lalu, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap pasangan itu selepas mereka mengaku bersalah melakukan perbuatan berkenaan di Tanah Perkuburan Cina Batu Gantung pada 22 Mac.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Kes itu sebelum ini mencetuskan perhatian ramai selepas tular rakaman video berdurasi 38 saat memaparkan pasangan berkenaan dalam keadaan tidak berpakaian di kawasan jirat, sebelum perbuatan tersebut dirakam orang awam dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan.










