KUALA LUMPUR, – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Global Turbine Asia (GTA) Sdn. Bhd. hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh penyelidikan pertahanan, pembangunan bakat serta ekosistem inovasi negara dalam satu majlis sempena pameran DSA NATSEC Asia 2026 di MITEC.
MoU tersebut mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam merapatkan jurang antara industri dan akademia, sekali gus menyokong keutamaan nasional dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan.
Majlis pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad, manakala GTA diwakili oleh Pengerusi Eksekutifnya, Dato’ Nonee Ashirin Mohd Radzi.
Kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan modal insan, bantuan profesional dan teknikal, serta tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Inisiatif melibatkan penyelidikan gunaan, inovasi serta pengkomersialan teknologi dalam sektor strategik, manakala pembangunan modal insan merangkumi latihan, program internship dan pertukaran ilmu bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Selain itu, kedua-dua pihak akan berkongsi kepakaran teknikal serta perkhidmatan perundingan melalui kerangka Gabungan Industri Pertahanan Malaysia (CDIM), di samping melaksanakan program CSR yang memberi impak kepada masyarakat.
MoU ini dilihat sebagai langkah konkrit dalam memperkukuh agenda pertahanan negara, dengan manfaat langsung kepada pelajar dan penyelidik UPNM serta peningkatan keupayaan industri pertahanan secara menyeluruh.
Kerjasama tersebut juga selari dengan Pelan Strategik UPNM 2025–2030 (UPNM30) yang mensasarkan universiti itu muncul sebagai institusi premier dalam bidang ketenteraan, pertahanan dan keselamatan di peringkat nasional dan antarabangsa menjelang 2030.










