Gangguan Selat Hormuz Cetus Tekanan Inflasi, Sultan Nazrin Mahu Penyelesaian Segera Konflik Asia Barat

KUALA LUMPUR: Ketegangan berlarutan di Asia Barat yang menjejaskan laluan utama tenaga dunia, Selat Hormuz, perlu ditangani segera bagi mengelakkan kesan ekonomi yang semakin membebankan negara ASEAN serta pasaran global.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan, gangguan terhadap laluan strategik itu bukan sahaja memberi kesan langsung kepada bekalan tenaga, malah mencetuskan rantaian impak luas merangkumi pelbagai sektor ekonomi.

“Peningkatan mendadak harga tenaga, baja dan pengangkutan sedang menaikkan harga makanan, meningkatkan kos pengeluaran dan pengedaran serta memacu inflasi,” titah baginda dalam Ucaptama Diraja sempena Forum Putrajaya ke-8 yang berlangsung bersempena Defence Services Asia (DSA) 2026 dan NATSEC 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Baginda turut mengingatkan bahawa negara dengan simpanan tenaga yang terhad lebih terdedah kepada ketidaktentuan berpanjangan, yang berpotensi menjejaskan pendapatan rakyat walaupun situasi kembali reda dalam tempoh singkat.

Sehubungan itu, baginda menekankan keperluan mendesak agar rundingan damai di Asia Barat dipercepat dan mencapai penyelesaian yang berkesan demi kestabilan ekonomi sejagat.

Selat Hormuz kekal sebagai nadi utama perdagangan tenaga dunia, menghubungkan Teluk Parsi dan Teluk Oman, dengan sekitar satu perlima hingga hampir satu pertiga bekalan minyak global melalui laluan tersebut setiap hari.

Sementara itu, laporan Agence France-Presse menyebut bahawa Amerika Syarikat dijangka menghantar delegasi ke Pakistan bagi meneruskan rundingan damai dengan Iran selepas pembukaan sementara selat itu ketika tempoh gencatan senjata selama 10 hari.

Namun, ketegangan kembali memuncak apabila sekatan berterusan dikenakan kedua-dua pihak, selain tindakan Tehran menutup semula laluan tersebut susulan serangan udara oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran sejak 28 Februari lalu.

Akibatnya, aliran trafik di selat yang biasanya mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia dilaporkan merosot dengan ketara, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kestabilan ekonomi global.

BBerkaitan

Latest articles