Batal Segera Lesen Peniaga Jual Tapak Bazar Ramadan Kepada Pihak Ketiga – PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menarik balik lesen bazar Ramadan serta-merta sekiranya mendapati ada peniaga yang menjual lesen kepada pihak ketiga.

Anwar berkata pihak DBKL pada tahun ini mengubah kaedah pemberian lesen memandangkan terdapat ejen yang menikmati komisen besar hasil kegiatan terbabit.

Ujarnya, perkara itu telah berlanjutan saban tahun sejak sekian lama.

Tambah Anwar, peniaga berniaga pada Ramadan bagi menambah pendapatan keluarga dan persiapan namun ada juga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

“Kalau persatuan ambil puluhan ringgit untuk keselamatan dan pembersihan itu saya faham tetapi bukan menjualnya, penjawat awam tahu dan perkara itu sudah lama berlaku.

“Saya harap penguatkuasaan tegas seperti di Kuala Lumpur dan harap dilaksanakan seluruh kota, pastikan siapa dapat lesen dan kalau dia pindahkan (jual) batalkan segera,” katanya.

Beliau berucap pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri.

Sebelum ini, DBKL memaklumkan akan mengendalikan sepenuhnya permohonan lesen dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu negara mulai tahun ini bagi memastikan bayaran sewa gerai berpatutan dan pengurusan yang lebih baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah itu bagi menangani aduan mengenai yuran permohonan perniagaan.

Zaliha mendedahkan sebelum ini penjaja mengadu membayar sehingga RM20,000 kepada orang tengah untuk mendapat tapak bazar Ramadan namun gagal mendapatkannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar yang juga menteri kewangan turut menyokong penguatkuasaan DBKL terhadap premis haram dikendalikan pendatang asing yang berleluasa di ibu negara malah ada yang beroperasi sehingga puluhan tahu.

“Saya sokong langkah DBKL yang mengikut peraturan, ini bukan zalim,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles