KUALA LUMPUR: Polis memaklumkan seorang wanita yang ditahan bagi siasatan kes penipuan melibatkan jumlah RM95,180, yang dilaporkan oleh isteri pelakon dan pelawak Along Cham, didapati memiliki lima rekod kes penipuan di empat negeri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata wanita itu mempunyai rekod jenayah di Sabah, Negeri Sembilan, Kedah, dan Selangor.
“Suspek kini direman selama empat hari, manakala suaminya pula direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Dalam pada itu polis turut menyiasat dakwaan bahawa wanita itu kononnya boleh membantu menurunkan seksyen pertuduhan terhadap Along Cham, termasuk kemungkinan penglibatan pihak berkuasa dalam kes tersebut.
“Kita sedang menyiasat sama ada dakwaan itu membabitkan pihak polis, agensi lain, atau sekadar tuduhan terhadap pihak berkuasa,” tambahnya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa pasangan suami isteri berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang, sekitar jam 10 malam kelmarin.
Penahanan tersebut dibuat susulan laporan daripada isteri Along Cham, Afreena Suhaimi, yang mendakwa telah ditipu sebanyak RM95,180 dalam urusan mendapatkan bantuan bagi menukar seksyen hukuman di mahkamah.
Menurut siasatan, mangsa bertemu suspek pada Disember lalu untuk membincangkan masalah yang dihadapi suaminya.
Suspek kemudian menawarkan bantuan untuk menurunkan seksyen kesalahan, dan mangsa bersetuju dengan syarat membuat pembayaran ke dalam dua akaun bank yang diberikan suspek.
Namun, selepas bayaran dibuat, suspek gagal menunaikan janji, menyebabkan mangsa tampil membuat laporan polis.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan, serta denda jika sabit kesalahan.