Tiga Produk Baharu Berasaskan Lada Dibangunkan Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Industri hiliran lada negara bakal menyaksikan pembangunan tiga produk baharu merangkumi dua produk makanan dan satu kosmetik pada tahun depan menerusi peruntukan RM140,000 bagi memperluas potensi pengkomersialan komoditi berkenaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pembangunan produk itu dilaksanakan menerusi Program Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersialan Produk Hiliran Lada bagi menghasilkan produk bernilai tambah yang mampu memenuhi keperluan pasaran.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan RM600,000 bagi program berkenaan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh rantaian nilai industri lada negara.

Menurutnya, Lembaga Lada Malaysia (MPB) sebelum ini sudah menyerahkan hasil penyelidikan lapan produk berasaskan lada kepada usahawan untuk tujuan pengkomersialan.

Daripada jumlah itu, lima adalah produk makanan, manakala tiga lagi merupakan produk bukan makanan.

“Pada tahun 2027, sebanyak RM140,000 disediakan bagi membangunkan dua produk makanan dan satu produk kosmetik berasaskan lada,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Lada Malaysia 2026, hari ini.

Noraini berkata, usaha memperluas pembangunan produk hiliran turut diperkukuh menerusi kerjasama MPB dengan Ajinomoto (Malaysia) Sdn Bhd yang dimeterai September lalu bagi membangunkan produk baharu berasaskan lada.

Katanya, MPB akan menjalankan ujian rintis bersama pihak industri bagi menilai kebolehlaksanaan pengeluaran produk berkenaan dalam skala lebih besar serta memastikan ia memenuhi spesifikasi dan keperluan pembeli.

Beliau berkata, pembangunan produk hiliran penting bagi meningkatkan nilai tambah lada tempatan, selain membuka peluang kepada lebih ramai usahawan untuk meneroka segmen pasaran baharu.

Ketika ini, 84 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah bimbingan MPB sudah menghasilkan 255 produk runcit berasaskan lada dengan purata nilai jualan dianggarkan RM20 juta setahun.

Noraini berkata, kerajaan mahu lebih banyak produk berkenaan mendapat tempat di pasaran mulai 2027, sekali gus memastikan manfaat pertumbuhan industri hiliran turut dirasai pekebun melalui peningkatan permintaan terhadap bekalan lada tempatan.

BBerkaitan

Latest articles