SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada kompromi terhadap pihak yang mengkhianati negara dengan menyalahgunakan aset pertahanan untuk kegiatan penyeludupan dadah, termasuk menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau berkata, kegiatan itu bukan kes terpencil, malah dakwaan penyeludupan yang berlaku berulang kali sehingga 20 kali tidak boleh dipandang ringan atau diselesaikan dengan menutup kes berkenaan.
Katanya, tindakan tegas wajib diambil terhadap semua pihak yang terbabit tanpa mengira pangkat atau kedudukan mereka.
“Kalau begini, cari orang lain. Saya selagi diberi amanah, saya dah beritahu, kamu melakukan pengkhianatan kepada negara, rasuah, guna pesawat TUDM seludup dadah, nak marah, marahlah … saya tidak peduli, tindakan wajib diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Yakin Madani bertemakan ‘Memaknai Harapan Rakyat’, di sini, hari ini.
Anwar berkata, beliau sudah menghubungi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman bagi membincangkan perkara itu, selain menuntut kerjasama penuh semua pihak untuk membersihkan imej institusi pertahanan negara.
Katanya, siasatan perlu mengenal pasti keseluruhan rangkaian yang terbabit, termasuk pegawai tentera yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket dadah.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seorang lagi pegawai TUDM dan empat orang awam ditahan pada Khamis bagi membantu siasatan kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan menggunakan aset ketenteraan.
Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan seramai 18 orang.
Pada 17 November lalu, seramai 11 individu, termasuk lima pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam ditahan dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan.
Polis turut merampas 96.64 kilogram dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram bahan kimia dalam operasi berkenaan.
Malah, tiga pegawai TUDM dan tiga individu lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam, atas pertuduhan mengedar lebih 90 kilogram dadah jenis methamphetamine pada 17 November lalu.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan usaha membanteras rasuah dan penyelewengan tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia merupakan tanggungjawab bersama bagi memastikan wang serta aset negara tidak disalahgunakan.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa rasuah menjadi amalan biasa dalam kalangan pemimpin dan penjawat awam, sambil menyifatkan budaya itu sebagai ancaman kepada pembangunan serta masa depan negara.
Katanya, pendedahan kes berkenaan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan membanteras kebocoran dan penyelewengan, termasuk yang dikesan dalam agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Beliau menegaskan kelemahan penguatkuasaan dan sistem pemantauan tidak boleh dijadikan ruang untuk pihak tertentu mengambil kesempatan bagi mengelak pemeriksaan serta menjalankan kegiatan penyeludupan.










