Saravanan Gesa Kerajaan Guna Istilah Deepavali, Bukan Diwali

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan menggesa kerajaan menggunakan istilah Deepavali dan bukannya Diwali dalam bahan hiasan serta kain pemidang sempena sambutan perayaan itu di negara ini.

Beliau berkata, penggunaan istilah Deepavali lebih tepat dengan latar belakang budaya dan bahasa masyarakat majoriti India di Malaysia yang kebanyakannya berasal dari India Selatan dan bertutur dalam bahasa Tamil.

Menurutnya, penggunaan istilah Diwali pada gerbang hiasan dan kain pemidang di sekitar Kuala Lumpur, termasuk Brickfields, adalah tidak tepat dan wajar digantikan dengan Deepavali.

“Untuk makluman, majoriti masyarakat India di Malaysia berasal dari Selatan India dan bertutur dalam bahasa Tamil.

“Maka, istilah Deepavali adalah lebih bertepatan dengan latar belakang budaya dan bahasa komuniti majoriti tersebut,” katanya dalam surat bertarikh 8 Oktober 2026 kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hannah Yeoh Tseow Suan.

Saravanan berkata, istilah Diwali pula lazim digunakan oleh masyarakat di India Utara yang bertutur dalam bahasa Hindi.

Beliau turut memaklumkan bahawa perayaan berkenaan di Malaysia telah diwartakan sebagai Deepavali.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak kerajaan dapat menukar penggunaan istilah Diwali kepada Deepavali bagi menghormati adat resam serta kebudayaan majoriti penganut Hindu di negara ini.

“Sehubungan itu, saya amat berharap pihak Yang Berhormat dapat menggantikan penggunaan istilah ‘Diwali’ kepada Deepavali, demi menghormati adat resam dan kebudayaan masyarakat majoriti penganut Hindu di negara ini yang menyambut perayaan tersebut,” katanya.

Surat berkenaan turut disalinkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BBerkaitan

Latest articles