11 Projek Tebatan Banjir Bernilai RM1.45 Bilion Dilaksana Di Perak

IPOH: Sebanyak 11 projek rancangan tebatan banjir bernilai keseluruhan RM1.45 bilion sedang dilaksanakan dan dirancang di seluruh Perak bagi mengurangkan risiko banjir serta melindungi penduduk daripada ancaman bencana itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurutnya, usaha itu merupakan antara langkah berterusan untuk mengurangkan risiko penduduk terpaksa berdepan pengalaman pahit akibat banjir yang berulang.

“Namun, tanggungjawab kita tidak terhenti pada usaha menyelamatkan rakyat ketika bencana melanda.

“Kita juga mahu mengurangkan kemungkinan mereka terpaksa melalui pengalaman pahit yang sama berlaku berulang-ulang kali.

“Sebab itu, kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan melalui JPS sedang melaksanakan dan merancang 11 projek rancangan tebatan banjir yang bernilai keseluruhannya RM1.45 bilion di seluruh Negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini.

Saarani berkata, pengalaman Perak berdepan tragedi banjir besar sebelum ini membuktikan bahawa setiap minit amat berharga ketika bencana berlaku, terutama dalam menyampaikan amaran awal, menggerakkan bantuan dan memindahkan penduduk ke tempat selamat.

Menurutnya, kelewatan dalam melaksanakan tindakan berkenaan boleh membawa akibat yang sukar ditebus, sekali gus menuntut kesiapsiagaan menyeluruh daripada semua pihak.

Justeru, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab menghadapi bencana tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu agensi penyelamat, sebaliknya perlu menjadi tanggungjawab bersama kerajaan, agensi berkaitan dan masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri turut memperkukuh penyelarasan pengurusan bencana menerusi penubuhan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) serta Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di kesemua 12 daerah.

Beliau berkata, kemudahan itu diwujudkan bagi memastikan amaran bencana dapat disampaikan kepada penduduk terjejas, panggilan kecemasan diberikan perhatian dan bantuan digerakkan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Dalam pada itu, Saarani merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi berkaitan, atas kerjasama membantu Perak menghadapi pelbagai cabaran bencana serta perubahan cuaca, termasuk risiko kekurangan sumber air.

Beliau berharap sambutan BKN 2026 dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan membuat persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

“Tidak semua bencana mampu dielakkan. Kita mungkin tidak berupaya menghalang hujan turun atau menghentikan ribut daripada melanda, tetapi kita mempunyai pilihan untuk sentiasa bersedia dan keupayaan mengurangkan risikonya.

“Paling penting, kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan lebih banyak nyawa dapat dilindungi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles