Puad Sah Tidak Pertahan DUN Rengit, Laluan Kepada Pemimpin Muda

JOHOR BAHRU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, sekali gus memberi laluan kepada generasi kepimpinan baharu menerajui negeri itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, keputusan berkenaan bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya telah dipertimbangkan sejak setahun lalu.

Menurutnya, hasrat tersebut turut dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kira-kira dua minggu lalu.

Mohd Puad menjelaskan faktor usia menjadi pertimbangan utama apabila beliau kini berusia 69 tahun dan berpendapat sudah tiba masanya pemimpin muda diberikan ruang lebih luas untuk memimpin serta membawa agenda pembangunan negeri.

Katanya, sekiranya beliau terus bertanding pada penggal akan datang, usianya akan mencecah 74 tahun, sesuatu yang dirasakan kurang sesuai untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa Onn Hafiz perlu diberi peluang memimpin barisan pelapis muda bagi memperkukuhkan pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Mohd Puad memaklumkan bahawa cadangan calon pengganti bagi kerusi DUN Rengit telah diserahkan kepada kepimpinan parti untuk dipertimbangkan.

Beliau menegaskan calon yang dipilih mestilah memiliki integriti, komitmen tinggi terhadap perjuangan parti, berakhlak baik serta memahami aspirasi rakyat dan hala tuju bangsa.

Beliau turut yakin UMNO Johor akan membuat keputusan terbaik dalam menentukan calon yang mampu meneruskan khidmat cemerlang kepada penduduk Rengit.

Dalam masa sama, Mohd Puad berkata masih terdapat beberapa urusan yang perlu diselesaikan sebelum hari penamaan calon.

Sepanjang lebih empat tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat yang menetap di kawasan itu, beliau menyifatkan dirinya cukup memahami denyut nadi dan keperluan masyarakat setempat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Rengit, penjawat awam, ketua-ketua kampung serta masyarakat Cina yang banyak memberi kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Mohd Puad turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan melantiknya sebagai Speaker DUN Johor, selain menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa memberikan nasihat dan bimbingan dalam memastikan persidangan DUN Johor berlangsung secara teratur dan lancar.

BBerkaitan

Latest articles