Bersatu Muktamad Guna Logo PN Bagi PRN Johor, N. Sembilan

KUALA LUMPUR: Bersatu menegaskan komitmennya untuk terus bersama Perikatan Nasional (PN) selepas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu sebulat suara memutuskan untuk kekal dalam gabungan berkenaan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat MPT yang berlangsung malam ini, dengan mengambil kira kedudukan Bersatu sebagai antara parti yang mengasaskan PN sejak penubuhannya.

“Bersatu akan terus kekal dalam PN sebagai mana yang diputuskan dalam mesyuarat malam ini,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat MPT Bersatu malam tadi.

Menurut Muhyiddin, kedudukan Bersatu dalam PN tidak boleh ditentukan atau diubah secara sebelah pihak oleh mana-mana parti kerana gabungan itu dibentuk secara bersama oleh parti-parti komponen yang terlibat.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin memaklumkan Bersatu akan terus menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang bakal berlangsung, selaras dengan persiapan yang telah digerakkan sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, jentera parti telah turun ke kawasan-kawasan yang dikenal pasti untuk ditandingi dan perancangan kerusi telah dibuat lebih awal.

Walaupun parti lain mempunyai hak untuk menentukan strategi masing-masing, Bersatu sudah menetapkan jumlah kerusi yang ingin ditandingi di kedua-dua negeri tersebut.

Beliau turut mendedahkan bahawa parti itu telah mengenal pasti beberapa calon berpotensi untuk diketengahkan pada PRN berkenaan, dengan pengumuman rasmi akan dibuat pada masa yang sesuai.

Mengulas kemungkinan berlaku pertindihan kerusi dengan PAS, Muhyiddin berkata Bersatu tidak melihat perkara itu sebagai masalah dan bersedia menghadapi sebarang pertandingan sekiranya situasi tersebut berlaku di Johor atau Negeri Sembilan.

“Bersatu okey kalau berlaku pertindihan kerusi di PRN Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles