KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim meluahkan rasa sedih dan pilu terhadap situasi yang sedang melanda PKR apabila parti itu berdepan gelombang penghijrahan ahli serta pemimpin ke Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Veteran PKR itu menyifatkan perkembangan tersebut sebagai satu badai besar yang sedang menggoncang parti yang telah lama diperjuangkannya, malah mengingatkannya kepada episod Langkah Sheraton yang menyaksikan beberapa pemimpin meninggalkan PKR untuk menyokong pembentukan kerajaan baharu.
Menerusi satu hantaran di Facebook pada Aidiladha kedua, Hassan berkata beliau berasa amat terkesan melihat keadaan semasa parti apabila satu demi satu pengumuman keluar parti dibuat oleh individu yang memilih menyertai Bersama.
Menurutnya, perkembangan itu lebih menyentuh perasaan kerana sebahagian daripada mereka merupakan rakan seperjuangan yang dikenali sejak sekian lama, manakala sebahagian lagi terdiri daripada ahli yang pernah bersama menggerakkan perjuangan PKR di pelbagai peringkat.
Hassan berkata, situasi kali ini berbeza berbanding krisis politik enam tahun lalu apabila beliau masih mempunyai tenaga dan semangat untuk mempertahankan parti daripada kehilangan pemimpin.
Ketika menjadi Pengerusi PKR Johor, beliau pernah berusaha menghubungi beberapa ahli Parlimen bagi memujuk mereka agar tidak meninggalkan parti, namun usaha tersebut gagal apabila mereka tetap menyertai kumpulan yang menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional ketika itu.
Beliau bagaimanapun mengakui faktor usia menyebabkan dirinya kini tidak lagi berupaya berjuang seperti dahulu untuk menahan gelombang keluar parti yang sedang berlaku.
Dalam masa sama, beliau turut melihat semangat perjuangan dalam kalangan sebahagian pemimpin kanan PKR semakin merosot berbanding sebelum ini.
Walaupun mengakui terdapat beberapa dasar kerajaan yang tidak dipersetujuinya, termasuk isu berkaitan tarif perdagangan melibatkan Amerika Syarikat, Hassan menegaskan beliau masih memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, PKR dan Kerajaan Madani.
Mengulas kedudukan semasa parti, Hassan menggambarkan PKR sebagai sebuah organisasi yang sedang mengalami kecederaan serius dan memerlukan tindakan segera bagi memulihkan keadaan sebelum berdepan cabaran Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Beliau menyifatkan parti itu kini berada dalam keadaan “cedera, luka dan parah”, sambil memberi amaran bahawa kegagalan menangani krisis dalaman berkenaan boleh memberi kesan besar terhadap masa depan PKR.
Namun begitu, Hassan masih menaruh harapan agar parti tersebut mampu bangkit daripada kemelut semasa dan meyakini penentu sebenar kekuatan PKR akan dinilai oleh rakyat pada PRU16.
Katanya, kemenangan akan membuka ruang kepada PKR untuk terus menerajui kerajaan, manakala kekalahan pula perlu dijadikan medan muhasabah menyeluruh oleh seluruh pimpinan dan anggota parti.










