KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia melalui Konsulat di Pontianak sedang giat menguruskan bantuan konsular bagi membantu proses membawa pulang jenazah seorang rakyat negara ini yang terkorban dalam nahas helikopter di Kalimantan Barat, Khamis lalu.
Kementerian Luar Negeri memaklumkan, pihaknya kini menyelaras rapat dengan pihak berkuasa Indonesia, majikan mangsa serta keluarga bagi memastikan segala urusan penghantaran pulang jenazah Patrick Kee Chuan Peng berjalan lancar.
Menurut Wisma Putra, kerjasama erat antara semua pihak amat penting, khususnya dalam mengendalikan kes kematian melibatkan rakyat Malaysia di luar negara yang memerlukan prosedur tertentu.
Dalam kenyataan sama, kementerian turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas kehilangan yang menyayat hati itu.
Sementara itu, pihak berkuasa Indonesia mengesahkan rakyat Malaysia berkenaan adalah antara lapan mangsa yang maut dalam nahas helikopter Airbus H130 terbabit.
Timbalan Operasi dan Kesiapsiagaan Badan Nasional Mencari dan Menyelamat (Basarnas) Indonesia, Edy Prakoso berkata, mangsa merupakan salah seorang daripada enam penumpang, selain dua kru iaitu juruterbang dan juruteknik.
Beliau turut memaklumkan bahawa proses penyerahan jenazah kepada keluarga kini sedang dilaksanakan selepas pengecaman identiti selesai dijalankan.










