31 Kenderaan Asing Dikesan Isi RON95, KPDN Perketat Penguatkuasaan Sejak April

JOHOR BAHRU: Sebanyak 31 kes membabitkan kenderaan berpendaftaran asing dikesan mengisi petrol bersubsidi RON95 sejak penguatkuasaan larangan sepenuhnya bermula 1 April lalu.

Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, perbezaan harga bahan api yang ketara antara Malaysia dan negara jiran menjadi faktor utama berlakunya pelanggaran tersebut.

Menurut beliau, terdapat juga pemilik kenderaan asing yang memberi alasan tidak mengetahui lokasi stesen minyak yang menjual RON97 ketika ditahan mengisi RON95.

“Sejak 1 April, larangan penjualan dan pembelian RON95 kepada kenderaan asing telah dikuatkuasakan sepenuhnya dan tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai operasi penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di susur keluar Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Chagar, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Mengulas lanjut, Azman berkata situasi ketidaktentuan di Asia Barat ketika ini menuntut kerajaan memastikan bekalan bahan api, khususnya RON95, kekal mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Tambahnya, kerjasama erat antara KPDN dan JPJ akan memperkukuh usaha mengesan serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah.

Dalam masa sama, KPDN turut memperkenalkan langkah baharu dengan menyekat penggunaan kad kredit dan debit asing di terminal pam layan diri di stesen minyak bagi menutup ruang penyalahgunaan.

“Pelaksanaan ini masih di peringkat penyesuaian oleh beberapa syarikat minyak, namun pemantauan rapi akan terus dilakukan bagi memastikan tiada lagi kebocoran,” katanya.

Sementara itu, hanya satu kes penyalahgunaan minyak bersubsidi direkodkan di Johor pada 10 April lalu, dengan kertas siasatan kini dalam pertimbangan Timbalan Pendakwa Raya.

Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat berdepan denda sehingga RM1 juta atau kompaun mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

BBerkaitan

Latest articles