KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan berjumlah RM10 juta terhadap Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam, semalam.
Tindakan undang-undang itu difailkan menerusi peguamnya susulan dakwaan kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh Tun Faisal dalam satu program podcast “The Tiger Show”, pada 31 Oktober tahun lalu.
Wan Saiful berkata, tindakan itu diambil selepas usaha untuk menyelesaikan pertikaian tersebut di luar mahkamah sejak Disember tahun lepas menemui jalan buntu ekoran kegagalan pihak defendan memberi maklum balas substantif.
“Oleh kerana sehingga hari ini beliau (Tun Faisal) tidak membalas atau memberi apa-apa cadangan penyelesaian, saya telah mengarahkan peguam saya memfailkan tindakan mahkamah yang tegas di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengimbas kronologi kes, Wan Saiful menjelaskan bahawa satu surat tuntutan telah dihantar kepada Tun Faisal pada 3 Disember 2025 bagi menuntut permohonan maaf, penarikan balik kenyataan, serta ganti rugi berjumlah RM10 juta.
Bagaimanapun, peguam Tun Faisal membalas surat berkenaan pada 12 Januari 2026 dan menyatakan keengganan untuk memenuhi tuntutan tersebut.
Meskipun pihak plaintif cuba membuka ruang rundingan melalui surat susulan pada Mac dan surat akhir bertarikh 7 Julai lepas bagi meminta cadangan penyelesaian, tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak defendan selepas tempoh empat bulan.
Menurut Wan Saiful, kenyataan yang dikeluarkan Tun Faisal dalam podcast berkenaan memberi implikasi kononnya beliau menerima projek Jana Wibawa atas pemberian bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tuduhan itu disifatkan beliau sebagai berniat jahat, palsu, dan mencemarkan nama baiknya, selain memberi gambaran salah bahawa Muhyiddin telah menyalahgunakan kuasa.










