KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menegaskan siasatan menyeluruh berhubung isu operasi Network School di Forest City, Johor akan memberi tumpuan khusus terhadap aspek dokumen perjalanan dan taktik penggunaan pasport negara kedua.
Tindakan tegas itu diambil bagi menyiasat dakwaan penglibatan individu asing yang dikesan menggunakan dokumen perjalanan negara lain untuk membolosi pintu masuk negara.
Malah, sebarang perkara yang menyentuh aspek keselamatan negara, pematuhan undang-undang imigresen serta penyalahgunaan kemudahan imigresen Malaysia.
“Sehubungan itu, KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan sedang menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh,” menurut kenyataan kementerian itu di sini hari ini.
Jelas KDN, fokus siasatan agensi keselamatan terbabit merangkumi status serta kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan, selain menyemak identiti dan kewarganegaraan sebenar individu terlibat.
Turut diperiksa adalah jenis pas atau kemudahan imigresen yang diberikan, tujuan kemasukan ke Malaysia, serta pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang imigresen negara.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau organisasi yang didapati menyalahgunakan kemudahan imigresen negara atau menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang.
Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil sekiranya hasil siasatan membuktikan wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas imigresen atau pemberian maklumat palsu yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam.
Kementerian itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan, bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional dan telus.










