Dunia politik Negeri Sembilan kini sedang “berkocak” hebat apabila desas-desus mengenai gerakan terancang untuk menggugat kedudukan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Mukhriz, mula tumpah ke ruang awam.
Apa yang dahulunya hanya sekadar bisikan di istana dan balai undang, kini menjadi topik hangat yang mencetuskan tanda tanya besar di kalangan rakyat.
Perkembangan ini tidak lagi boleh dianggap sebagai isu adat yang remeh, sebaliknya ia ditafsirkan sebagai satu “catur kuasa” yang sangat licin oleh kelompok berkepentingan yang dipercayai mempunyai agenda tersembunyi demi menguasai pentadbiran negeri.
Pemerhati politik melihat situasi ini sebagai satu ancaman serius yang mampu menggoncang kestabilan Negeri Sembilan.
Jika gerakan ini benar-benar didalangi oleh pihak yang mahu melakukan perubahan drastik melalui pintu belakang, maka institusi beraja dan kedaulatan adat kini sedang berada di persimpangan jalan yang kritikal.
Rakyat mula memerhati dengan penuh debaran, menanti sejauh mana Tuanku Mukhriz mampu bertahan dalam menghadapi gelombang tekanan, boikot, dan desakan yang semakin memuncak dari pelbagai sudut.
Pada hari yang sama, rakyat juga senantiasa menanti-nanti sabda terbaru daripada Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin yang memiliki keabsahan tersendiri dalam sistem Adat Pepatih ini.
Bak kata orang Negeri Sembilan, sekali Tok Undang bersabda, dia tidak akan berpatah balik.
Dalam kemelut yang semakin tegang ini, tumpuan kini terarah sepenuhnya kepada sosok Menteri Besar sebagai nakhoda kerajaan negeri.
Sejarah dan tradisi Negeri Sembilan telah menetapkan satu garis merah yang sangat jelas: urusan adat adalah kedaulatan mutlak institusi Undang dan Istana yang tidak boleh dicemari oleh tangan-tangan politik, mahupun campur tangan pihak kerajaan.
Sebagai ketua eksekutif, Menteri Besar mempunyai tanggungjawab moral dan arahan kerja yang wajib dipatuhi untuk tidak sama sekali mencampuri urusan dalaman adat.
Beliau seharusnya bertindak sebagai payung yang melindungi keharmonian, bukannya menjadi sebahagian daripada kemelut tersebut.
Apabila Menteri Besar mengeluarkan dua kenyataan media berkaitan hal ehwal urusan dalama adat, serta bertindak meneruskan istiadat pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri pada 23 April 2026 tanpa kehadiran Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, maka ‘dosa besar’ ini tidak lagi mampu dimaafkan oleh mereka yang faham adat.
Membiarkan konflik ini diselesaikan secara tertib oleh ahli adat mengikut “lopak” masing-masing bukan sekadar satu pilihan, tetapi satu kemestian demi menjaga maruah sistem Adat Perpatih yang menjadi identiti unik negeri ini. Dan, perkara ini haruslah dimulakan terlebih dahulu oleh seorang Menteri Besar.
Jika krisis ini gagal ditangani dengan kebijaksanaan yang tinggi, ia bukan sahaja akan mencetuskan gelombang ketidakstabilan politik, malah berisiko merobek kepercayaan rakyat terhadap sistem sedia ada.
Kini, persoalan yang bermain di minda netizen adalah sama ada kestabilan negeri akan diutamakan, atau adakah prinsip adat akan terus menjadi mangsa percaturan kuasa individu tertentu.
oleh: Rais Mohammad
(Ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya mewakili pandangan rasmi TRI).










