KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu yang dikenali sebagai Parti Wawasan Negara.
Ahli Parlimen Larut itu mendedahkan nama parti berkenaan telah diilhamkan dan diberikan sendiri oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, atau lebih mesra disapa ‘Ayah Chik’.
Hamzah, yang kini menerajui gerakan ‘Reset Malaysia’, menyatakan bahawa parti baharu itu dijadualkan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang pertama pada minggu hadapan.
”Parti yang saya nak maklumkan ini namanya diberi oleh ayahanda saya… parti itu bernama Parti Wawasan Negara.
”Cuma kami ini baru dilahirkan. Kalau baru dilahirkan tidak dijaga oleh ayahanda, tidak diangkat dan ditatih oleh ayahanda, kami tidak tahu di mana hala tuju kesampaian kami,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Konvensyen Reset Malaysia di Tanah Merah, Kelantan, hari ini.
Mengulas mengenai hala tuju Parti Wawasan Negara, Hamzah menegaskan parti itu akan memperjuangkan agenda takbir urus berperikemanusiaan atau ‘The Compassionate Governance’.
Langkah itu katanya, adalah bagi memastikan sistem pentadbiran negara dilaksanakan dengan penuh integriti, ihsan, dan rasa kebertanggungjawaban, memandangkan rakyat kini dilihat semakin hilang keyakinan terhadap sistem perundangan sedia ada.
Dalam pada itu, Hamzah menyatakan hasrat Parti Wawasan Negara untuk menjalinkan kerjasama politik yang lebih komprehensif dan meyakinkan bersama PAS, Gerakan, serta parti-parti lain yang sedia ada.
”Insya-Allah kami akan bantu untuk membangunkan bangunan yang kukuh demi agenda masa depan rakyat Malaysia di seluruh negara,” katanya.










