KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan bahawa formula dan janji untuk memastikan harga minyak di Malaysia kekal lebih rendah berbanding negara-negara pengeluar minyak utama dunia, termasuk Arab Saudi dan Qatar, telah berjaya ditunaikan berdasarkan realiti ekonomi semasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun berlaku pergolakan geopolitik berterusan di Selat Hormuz yang melonjakkan harga minyak mentah Brent sehingga mencecah paras USD81 setong, langkah intervensi dan subsidi bersasar kerajaan berjaya mengekalkan kestabilan harga runcit domestik untuk perlindungan rakyat.
Menepis sindiran pihak pembangkang berhubung retorik formula harga minyak masa lalu, beliau tampil membentangkan data empirikal bagi mematahkan dakwaan bahawa kerajaan gagal menguruskan kebajikan pasaran bahan api negara.
“Harga minyak di Malaysia ini lebih rendah daripada Qatar dan Arab Saudi. Itu dia fakta yang pertama yang harus diingat. Cananglah bagaimanapun, kenyataannya sekarang,” tegas beliau ketika menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut mengenai perbandingan harga yang sering dibangkitkan, Anwar menjelaskan struktur pasaran minyak global telah banyak berubah jika dibandingkan dengan beberapa tahun lalu semasa tuntutan penurunan harga dibuat.
“Masa kita minta turun sedikit (dahulu) RM1.50, harga minyak di Arab Saudi baru RM0.50. Sekarang kita tetapkan RM1.99 (melalui mekanisme BUDI95), manakala harga di Arab Saudi pula sudah melebihi RM2.40.
“Malah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang merupakan antara pengeluar minyak dan gas terbesar dunia juga telah menaikkan harga minyak mereka dua bulan lalu. Jadi kalau katakan saya berjanji dulu minyak mesti lebih rendah dari Arab Saudi, (janji itu) sudah ditunaikan,” katanya.
Di samping itu, Anwar memaklumkan Dewan Rakyat bahawa lonjakan harga pasaran ekoran krisis Selat Hormuz telah menyebabkan kos subsidi petroleum negara melambung tinggi mencecah RM4 bilion hingga RM5 bilion sebulan bagi tempoh Mac hingga Mei lalu.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan bersedia menanggung unjuran keseluruhan subsidi petroleum bernilai RM40 bilion bagi tahun 2026 demi memastikan rakyat tidak terbeban dengan inflasi melampau akibat krisis rantaian global tersebut.










