KUALA LUMPUR: DAP Sarawak akan menggerakkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak secara sendiri tanpa penglibatan pemimpin DAP dari luar negeri yang memegang jawatan menteri atau timbalan menteri Persekutuan.
Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata, keputusan itu dibuat atas semangat Kerajaan Madani serta menghormati rakan parti dalam gabungan kerajaan di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, DAP Sarawak akan mengendalikan kempen di lapangan menggunakan kepimpinan, anggota dan pendekatan parti itu sendiri tanpa bergantung kepada pemimpin DAP yang memegang jawatan dalam kerajaan Persekutuan.
“DAP Sarawak akan mengetuai kempen di lapangan dengan pemimpin, anggota dan mesej kami sendiri.
“Rekod prestasi serta komitmen kami terhadap rakyat Sarawak akan menjadi bukti kepada rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Khamis.
Chong menjelaskan, keputusan itu dicapai selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke susulan keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak.
Menurutnya, langkah berkenaan dibuat sebagai tanda menghormati rakan parti dalam gabungan kerajaan di peringkat Persekutuan selain mengekalkan semangat Kerajaan Madani.
Dalam pada itu, Chong menegaskan DAP Sarawak mempunyai autonomi penuh untuk menentukan penyertaan parti itu dalam PRN berkenaan, termasuk jumlah kerusi, pemilihan calon dan penandatanganan watikah untuk bertanding menggunakan logo DAP.
“Perkara berkaitan Sarawak diputuskan sepenuhnya oleh DAP Sarawak. Ini termasuk jumlah kerusi yang kami tandingi, pemilihan calon dan penandatanganan watikah untuk bertanding menggunakan logo DAP.
“Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP mengesahkan bahawa ia menghormati sepenuhnya autonomi ini dan akan mematuhi aturan berkenaan dalam parti,” katanya.
Beliau menegaskan pendirian itu bukan satu konsesi baharu, sebaliknya prinsip yang sekian lama diamalkan DAP Sarawak.










