Pesawat Air France Ke Singapura Isytihar Kecemasan, Berpatah Balik Ke Paris

KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat Air France yang dalam penerbangan dari Paris ke Singapura terpaksa berpatah balik selepas mengaktifkan kod kecemasan 7700 ketika berada pada ketinggian 31,000 kaki pada Rabu.

Pesawat jenis Boeing 777-300ER yang mengendalikan penerbangan AF256 itu dilaporkan mengaktifkan kod berkenaan ketika berada di ruang udara Eropah sebelum membatalkan perjalanan ke Singapura.

Pesawat itu kemudian kembali ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris dan dilaporkan selamat mendarat pada jam 11.26 malam waktu tempatan.

Kod transponder 7700 merupakan isyarat kecemasan antarabangsa yang digunakan juruterbang untuk memaklumkan kepada kawalan trafik udara bahawa pesawat berdepan situasi kecemasan.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih belum diketahui dan belum ada pengesahan rasmi daripada Air France.

Laporan awal portal penerbangan AirLive menyebut kemungkinan berlaku masalah teknikal melibatkan sistem enjin sebelah kiri pesawat, namun perkara itu belum disahkan.

Setakat ini, tiada maklumat lanjut mengenai keadaan penumpang dan anak kapal yang berada dalam penerbangan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles