Di Sebalik Ramalan BN Tambah Kerusi Di Melaka, Ahmad Maslan Ingatkan Jangan Terlalu Yakin

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya leka dengan ramalan positif mengenai peluang parti itu menambah kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya perlu mempergiat usaha mendekati pengundi sehingga hari pengundian pada 14 November ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata beliau menyambut baik unjuran bekas pemimpin DAP, Ong Kian Ming, yang menjangkakan BN berpotensi memperoleh tambahan tiga hingga empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 21 kerusi dimenangi pada PRN 2021.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan parti itu supaya tidak terlalu yakin dengan ramalan berkenaan kerana keputusan sebenar bergantung pada sokongan pengundi dan kerja keras jentera sepanjang tempoh berkempen.

“Seronok mendengar ramalan yang positif. Saya juga meramal BN akan menang besar.

“Tetapi saya mohon BN jangan ‘overconfident’. Usaha setiap hari, setiap malam menemui pengundi,” katanya memetik FMT.

Sebelum ini, Ong meramalkan BN mampu mempertahankan 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN lalu, selain berpeluang menambah tiga hingga empat kerusi berdasarkan sentimen dan momentum semasa.

Beliau turut menjangkakan BN berpotensi merampas satu atau dua kerusi milik Pakatan Harapan (PH), termasuk Bukit Katil yang disandang bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, serta Ayer Keroh yang menjadi kubu kuat DAP.

Mengulas faktor yang boleh membantu BN dalam persaingan itu, Ahmad berkata parti berkenaan mempunyai beberapa kelebihan, antaranya kesepaduan jentera pilihan raya, pemilihan calon yang sesuai serta rekod prestasi kerajaan negeri.

Sementara itu, seorang lagi Ahli MKT UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berpandangan keputusan PRN Melaka juga berpotensi mempengaruhi pertimbangan politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata, sekiranya BN berjaya menambah dua atau tiga kerusi DUN, keputusan itu boleh memberi tekanan kepada PH dan menjejaskan hubungan kedua-dua parti yang kini bekerjasama dalam kerajaan perpaduan.

“Jika PRN Melaka ini menghasilkan keputusan yang macam Ong sebut, maknanya habislah PH di Melaka.

“Nampaknya, ramalan bekas pemimpin DAP ini lebih yakin dengan kekuatan UMNO daripada pemimpin PH. Ini akan merenggangkan lagi hubungan antara BN dan PH dalam kerajaan perpaduan untuk PRU nanti,” katanya.

Setakat ini, belum ada pakatan rasmi diumumkan bagi menghadapi PRN Melaka yang menyaksikan pengundi keluar mengundi pada 14 November ini.

Pada PRN 2021, BN memenangi 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Bagaimanapun, komposisi kerusi itu berubah selepas Ahli DUN Rembia, Jailani Khamis, meninggalkan UMNO untuk menyertai PAS sebelum undang-undang antilompat parti negeri berkuat kuasa.

BBerkaitan

Latest articles