Azman Sah Bertanding Di DUN Paya Rumput Pada PRN Melaka

KUALA LUMPUR: Spekulasi mengenai penyertaan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal terjawab apabila beliau mengesahkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput pada pilihan raya berkenaan.

Azman yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata, beliau bersedia memikul tanggungjawab itu sekiranya diberikan mandat oleh parti untuk mewakili Pakatan Harapan (PH).

Beliau menegaskan akan akur dengan sebarang keputusan PKR berhubung pencalonannya, termasuk arahan untuk bertanding di Melaka.

“Ya, setakat ini, insya-Allah saya akan bertanding di Paya Rumput.

“Kalau itu amanah parti, saya menerima apa saja keputusan parti. Kalau disuruh bertanding di Melaka, saya akan bertanding,” katanya memetik FMT.

Pengesahan itu sekali gus memperjelas kedudukan Azman yang sebelum ini dikaitkan dengan kemungkinan menjadi calon PH pada PRN Melaka, sekali gus menjadikan kerusi Paya Rumput antara kawasan yang bakal mendapat perhatian dalam persaingan pilihan raya kali ini.

Pada PRN Melaka 2021, kerusi berkenaan dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Rais Yasin, dengan majoriti 629 undi.

Rais menewaskan empat pencabar lain, termasuk bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang bertanding atas tiket PH, selain calon Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian bagi PRN Melaka ke-16 dijadualkan berlangsung pada 14 November.

Seramai 687,697 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing berdasarkan daftar pemilih terkini sehingga 22 September lalu.

Dengan pengesahan Azman itu, perhatian kini tertumpu kepada persiapan parti-parti bertanding serta kemampuan calon masing-masing meraih sokongan pengundi di Paya Rumput.

BBerkaitan

Latest articles