PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi model Chery Omoda 5 susulan insiden membabitkan kenderaan itu yang tular di Johor Bahru, minggu lalu.
Langkah itu turut menyaksikan pendaftaran baharu model berkenaan ditangguhkan sehingga siasatan teknikal selesai dan sebarang risiko keselamatan dikenal pasti.
JPJ dalam kenyataan media hari ini berkata, tindakan berkenaan diambil sebagai langkah pencegahan awal susulan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan kenderaan terbabit.
Menurutnya, penggantungan itu akan dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian yang berpotensi terlibat.
“Chery Malaysia dikehendaki mengenal pasti semua unit kenderaan yang berpotensi terjejas berdasarkan nombor komponen, kelompok pengeluaran, nombor casis (VIN) serta parameter teknikal berkaitan,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
JPJ turut mengarahkan pelaksanaan pemanggilan semula terhadap semua kenderaan yang dikenal pasti berisiko bagi membolehkan pemeriksaan dan tindakan pembetulan sewajarnya dilakukan.
Dalam masa sama, jabatan itu akan menjalankan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Chery Omoda 5 serta pembekal komponen gandar berkaitan.
Audit berkenaan merangkumi pematuhan amalan pengilangan yang baik (GMP), sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan serta tahap keselamatan komponen yang digunakan.
JPJ menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpastian yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
“Pengeluar bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dipasarkan memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Penggantungan VTA berkenaan hanya akan ditarik balik selepas semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya serta JPJ mengesahkan secara teknikal bahawa segala risiko keselamatan sudah ditangani sewajarnya.










