Jerebu: Indonesia Anggap Kebakaran Hutan Fenomena Alam

Indonesia: Jerebu bukan kesilapan manusia, sebaliknya fenomena alam

JAKARTA: Kerajaan Indonesia menyifatkan kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu rentas sempadan hingga menjejaskan Malaysia dan Singapura sebagai fenomena alam, bukannya berpunca daripada kesilapan manusia.

Kompas.com melaporkan, Ketua Badan Komunikasi Pemerintah Republik Indonesia (Bakom), Syahganda Nainggolan berkata, kerajaan Indonesia memahami kebimbangan Malaysia dan Singapura berhubung masalah jerebu yang melanda kedua-dua negara itu.

Menurutnya, hubungan Indonesia dan Malaysia ketika ini juga berjalan dengan baik, selain usaha menjelaskan keadaan sebenar berhubung fenomena berkenaan kepada negara jiran.

“Kita bukan sahaja menghantar asap, tetapi kalau asapnya tiada, kita menghantar oksigen,” katanya dalam temu bual yang dipetik Kompas.com.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu asap kebakaran hutan dan tanah atau karhutla yang menjejaskan negara jiran Indonesia.

Syahganda turut meminta negara jiran memahami bahawa kejadian itu berada di luar kawalan manusia dan merupakan fenomena alam.

Dalam pada itu, beliau berkata, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar Menteri Luar untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan rakan sejawatnya dari Indonesia bagi mencari jalan menangani keadaan jerebu yang semakin serius.

Menurutnya, usaha perbincangan antara kedua-dua negara itu bertujuan membolehkan mereka bersama-sama mengatasi masalah berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles