KUALA LUMPUR: Kalau ikut kedudukan, Tan Sri Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebenarnya boleh sahaja duduk di kerusi VIP dan menyaksikan pertunjukan dari tempat khas.
Namun, beliau memilih untuk berada bersama anak buah di udara demi memastikan persembahan terbaik dapat dipertontonkan kepada rakyat Malaysia.
Sikap itu mengundang rasa kagum dan mendapat pujian ramai, lebih-lebih lagi ketika sambutan Hari Kebangsaan yang menyaksikan aksi aset udara TUDM menjadi antara acara yang dinanti-nantikan.
Sepanjang kerjayanya, Panglima TUDM, Tan Sri Muhamad Norazlan Aris, bukanlah asing dengan dunia pesawat pejuang.
Beliau pernah menerbangkan pelbagai jenis pesawat termasuk Aermacchi MB339A, A4PTM Skyhawk, Mikoyan Guverich MiG-29N/UB dan Sukhoi Su-30MKM.
Jadi, tidak hairanlah beliau memilih untuk bersama pasukan di udara, bukannya sekadar menyaksikan aksi anak buah dari bawah.
Tindakan itu bukan sahaja mencerminkan pengalaman dan keupayaan beliau sebagai seorang juruterbang, malah memperlihatkan semangat kepimpinan untuk bersama anggota yang dipimpin dalam melaksanakan amanah kepada negara.










