KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkuat kuasa pada Isnin.
Keputusan berkenaan dimaklumkan menerusi satu surat rasmi yang dihantar kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook serta salinan kepada Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Khoo Poay Tiong.
Kian Ming yang menyertai DAP sejak 2012 mengimbau pembabitannya sepanjang 14 tahun bersama parti itu, termasuk berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Serdang (2013 hingga 2018), Ahli Parlimen Bangi (2018 hingga 2022) dan Timbalan Menteri MITI (2018 hingga 2020).
Menerusi kenyataan tersebut, beliau merakamkan penghargaan khas kepada bekas Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua yang menjemput dan membimbingnya dalam kancah politik, serta Lim Guan Eng atas kepercayaan pencalonan kerusi Parlimen dan jawatan kabinet.
Mengulas mengenai hala tuju politiknya, Kian Ming menegaskan tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat mahupun bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Bagaimanapun, beliau mengesahkan bakal terlibat secara langsung dalam kancah PRU16 bagi membantu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
”Saya tetap komited untuk menunaikan janji yang telah saya buat pada 10 Januari 2026, untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen dalam PRU16, sekiranya beliau diberi kerusi untuk bertanding,” katanya.
Menurutnya, sumbangan kepada kepentingan negara akan diteruskan menerusi platform luar politik kepartian, termasuk pengendalian program podcast “Are We OK”, peranan penasihat dan kerjasama dengan pelbagai pihak sehaluan.










