KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan bahawa badan itu mengabaikan perancangan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, atau tidak menghargai jasa serta sumbangannya kepada negara.
Sebaliknya, MSN menegaskan pihaknya sentiasa menyokong The Pocket Rocketman, termasuk perancangannya untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).
Menurut MSN, perkara itu telah dimaklumkan kepada Azizulhasni menerusi beberapa siri pertemuan bersama Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, serta pegawai kanan badan berkenaan, sebelum dan selepas Sukan Komanwel Glasgow.
“Malah pihak MSN telah mengadakan perbincangan bersama Persekutuan Berbasikal Malaysia (MNCF) pada 7 Julai bagi membincangkan Olympic Pathway, termasuk keperluan Azizulhasni selaku peneraju utama untuk mengumpulkan mata kelayakan,” menurut kenyataan itu.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan MSN, turut dikatakan sentiasa mengambil tahu perkembangan Azizulhasni serta menyokong keputusan dan bantuan yang diperlukan atlet berkenaan.
Dalam pertemuan pada 13 Ogos bersama beberapa pegawai kanan program sukan negara, Azizulhasni memaklumkan bahawa beliau sudah mula merancang persiapan ke LA2028, namun belum memuktamadkan pelan tersebut.
Pada pertemuan itu, beliau turut mengemukakan beberapa keperluan penting dan MSN berkata pihaknya bersetuju dengan permohonan tersebut, termasuk beberapa permintaan tambahan.
MSN turut memberi jaminan bahawa cadangan pemberian geran kepada Azizulhasni akan diteruskan seperti sebelum ini. Semua penyertaan ke kejohanan utama seperti Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Dunia juga akan ditanggung MSN secara berpasukan.
Malah, perkara berhubung perancangan dan keperluan Azizulhasni dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 13 Ogos dan mendapat persetujuan semua ahli lembaga.
Susulan itu, e-mel dihantar kepada Azizulhasni pada 27 Ogos bagi memuktamadkan perbincangan dan mendapatkan pelan lengkap program berserta anggaran perbelanjaan.
Pelan tersebut diperlukan bagi membolehkan MSN menyediakan peruntukan untuk latihan dan pertandingan sehingga LA2028, termasuk sasaran prestasi, laluan kelayakan Olimpik, keperluan jurulatih dan pasukan sokongan, sains sukan, perubatan, fasiliti, peralatan serta logistik.
MSN menjelaskan peruntukan hanya boleh dilaksanakan selepas menerima pelan lengkap daripada Azizulhasni.
Dalam pada itu, MSN turut menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan jurulatih John Beasley yang mendakwa tiada perbincangan mengenai perancangan masa depan Azizulhasni dilakukan.
Menurut MSN, Azizulhasni sebelum ini bersetuju supaya pengumuman mengenai program latihannya ke LA2028 dibuat secara bersama antara dirinya dan MSN selepas Kejohanan Berbasikal Dunia di Shanghai, China, pada 14 hingga 18 Oktober.
MSN berkata pihaknya menghormati permintaan itu bagi memastikan fokus dan persiapan Azizulhasni tidak terjejas menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Sementara itu, Azizulhasni semalam tampil dengan penjelasan sembilan muka surat bagi memperincikan proses kelayakan ke LA2028 serta pendiriannya mengenai masa depan kariernya.
Beliau berkata penjelasan itu dibuat bagi menjawab persoalan yang selama ini bermain di fikirannya selain mendapatkan penjelasan jelas daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta MSN mengenai kedudukannya dalam misi Malaysia ke LA2028.










