UMNO Setuju Pimpinan Negeri Mula Bincang, Runding Kerjasama Hadapi Pilihan Raya

​KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju membenarkan kepimpinan UMNO di peringkat negeri untuk melaksanakan perbincangan serta perundingan bersama parti-parti politik yang berhasrat menjalin kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya akan datang.

​Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung pada malam Khamis.

​Walau bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang perundingan untuk menjalinkan kerjasama politik perlu dibina atas prinsip keikhlasan dan kepercayaan, bukan melalui tekanan tertentu.

​”Sebarang perundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam pilihan raya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan dan gertakan,” katanya.

​Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menjelaskan MKT UMNO mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal oleh pihak akademik dan agensi penyelidikan yang menunjukkan sentimen rakyat, terutamanya orang Melayu, mengharapkan penyatuan ummah serta keindukan Melayu sebagai teras kestabilan politik negara.

​Dalam pada itu, UMNO turut menyentuh isu kedaulatan undang-undang (Rule of Law) dan menegaskan prinsip anggapan tidak bersalah (Presumption of Innocence) mesti sentiasa dihormati.

​”Seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum didakwa, dibicarakan dan disabitkan kesalahannya oleh mahkamah yang berbidang kuasa.

“Sebarang tindakan memalukan atau membentuk persepsi seolah-olah individu yang baru ditahan bagi tujuan siasatan telah bersalah adalah bertentangan dengan prinsip keadilan.

​”Bagaimanapun, UMNO konsisten tidak akan mempertahankan sebarang salah laku atau penyelewengan yang dilakukan oleh mana-mana pihak termasuk ahli dan kepimpinan parti yang wajib dihadapkan ke muka pengadilan,” jelasnya.

​Sementara itu, sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 12 September depan, MKT bersetuju memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi PAS.

​Langkah berkenaan diambil sebagai tanda penghormatan serta membalas jemputan yang telah diberikan kepada kepimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS sebelum ini.

​Tiga program utama yang terbuka kepada orang awam turut diadakan sehari awal pada 8 September iaitu Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia dan Laman Wanita Kreatif.

​Mesyuarat MKT malam berkenaan turut menyaksikan pelantikan dan upacara angkat sumpah Datuk Ismail Lasim sebagai Ahli MKT UMNO yang baharu.

BBerkaitan

Latest articles