KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa supaya tidak melayan surat daripada bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang mendakwa dirinya tidak bersalah berhubung pertuduhan di mahkamah.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Anwar bukanlah ‘posmen’ kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Jabatan Peguam Negara.
Menurutnya, sekiranya Saravanan yakin berada di pihak yang benar, segala hujah penafian sepatutnya dikemukakan semasa proses perbicaraan di mahkamah kelak.
”Hari ini Saravanan telah didakwa di mahkamah. Empat hari sebelumnya, dia menulis surat kepada PMX menyatakan dia tidak bersalah.
”Apa perlunya dia tulis surat kepada PMX? Minta mercy PMX supaya tidak didakwa? Surat itu pula telah ditularkan. Apakah jika PMX serahkan surat itu kepada SPRM, ia akan beri weightage kepadanya?” katanya menerusi satu hantaran di media sosialnya pada Jumaat.
Mohd Puad yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menegaskan bahawa Pejabat Perdana Menteri tidak sepatutnya dijadikan saluran untuk meraih pertimbangan berhubung kes perundangan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Anwar untuk mengeluarkan amaran keras kepada mana-mana menteri mahupun bekas menteri agar tidak meniru tindakan sedemikian pada masa hadapan.
”Kalau dia yakin tidak bersalah, maka gunakanlah hujah-hujah dalam surat kepada PMX itu semasa perbicaraan nanti.
”PMX jangan layan surat tersebut. PM mesti beri amaran keras kepada menteri dan bekas menteri jangan tiru cara Saravanan. PM bukan posmen kepada SPRM atau AG,” katanya.










