Terokai Pasaran Timur Tengah, Federal Power Bakal Meterai MoU Bersama Jeddah Cable

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar kabel Bumiputera, Federal Power Sdn. Bhd. (Federal Power) kini melangkah agresif memperluaskan jangkauan perniagaannya ke pasaran Timur Tengah menerusi potensi jalinan kerjasama strategik dan Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama gergasi industri Arab Saudi, Jeddah Cable.

Pengerusi Federal Power, Datuk Seri N.W. Hisham Abdul Wahab berkata, langkah tersebut dibuat berikutan peluang serta saiz pasaran di rantau Teluk yang amat besar dan berpotensi tinggi untuk diterokai.

“Perjumpaan rasmi dengan pihak Jeddah Cable ini telah diaturkan oleh MATRADE Jeddah yang diketuai oleh Pesuruhjaya Perdagangan/Konsul Malaysia di Jeddah, Yazrin Syakhairi Mahlan.

“Kami melihat peluang pasaran di Timur Tengah ini terlalu besar dan ini adalah masa terbaik untuk syarikat bertapak di sana,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Hisham, pemilihan rakan kongsi luar negara yang tepat amat kritikal bagi memastikan kelangsungan serta kejayaan penembusan pasaran antarabangsa syarikat.

“Tujuan utama kami adalah mencari rakan luar negara untuk menempa nama di pasaran Timur Tengah, dan syarikat di Arab Saudi yang boleh kita jadikan sebagai rakan strategik utama ialah Jeddah Cable.

“Bagi pembentukan perkongsian bersama, adalah sangat penting untuk kita memilih rakan strategik yang mempunyai kekuatan dari segi kewangan dan pengalaman yang mendalam,” jelasnya.

Mengulas mengenai kemampuan syarikat, Hisham menegaskan bahawa Federal Power bukanlah nama baharu dalam pasaran global dan sudah mempunyai trek rekod yang kukuh.

“Federal Power sebenarnya pernah mengeksport produk ke luar negara sebelum ini, terutamanya ke pasaran Amerika Syarikat (AS), Iraq dan Abu Dhabi.

“Dengan pengalaman melebihi 50 tahun dalam industri pembuatan kabel voltan tinggi yang mematuhi piawaian antarabangsa, kami bersedia menyokong projek infrastruktur berskala besar di Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Hisham turut mendedahkan bahawa perbincangan bersama pihak Saudi tidak sekadar tertumpu kepada jualan produk kabel siap semata-mata, sebaliknya merangkumi kerjasama rantaian bekalan antara industri kabel Arab Saudi dengan industri semikonduktor serta material Malaysia.

“Pihak Arab Saudi kini sedang mengusahakan projek strategik untuk menghasilkan bahan semikondutif (semicon material) bagi kabel voltan tinggi, iaitu lapisan bahan khusus yang digunakan dalam pembuatan kabel kuasa.

“Maksud perbincangan ini ialah Malaysia boleh menjadi sumber bahan dan teknologi penting untuk projek berkenaan,” kata beliau.

Tambah beliau, keupayaan Malaysia dalam sektor pembuatan bahan termaju menjadi daya tarikan utama pihak luar.

“Untuk menghasilkan produk semikon kabel voltan tinggi tersebut, pengilang di sana memerlukan bekalan bahan kimia khas, pemangkin (catalyst), resin, aluminium dan material tertentu.

“Malaysia amat berpotensi kerana kita mempunyai industri semikonduktor yang besar serta banyak syarikat tempatan yang terlibat dalam supply chain elektronik.

“Jika bahan ini dibekalkan dari Malaysia, ia bukan sahaja membuka peluang perdagangan baharu malah menjadikan negara kita sebagai gateway kepada pasaran dan supply chain teknologi serantau,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hisham menarik perhatian mengenai keupayaan sebenar industri tempatan yang sering terhad disebabkan kekangan fokus pasaran domestik.

“Sebagai contoh, pihak Saudi sendiri maklum bahawa sebahagian kandungan dalam produk gergasi teknologi seperti Tesla sebenarnya dikaitkan dengan supply chain Malaysia, khususnya berkaitan bateri, semikonduktor, komponen elektronik dan rantai bekalan pembuatan.

“Ini membuktikan Malaysia mempunyai kemampuan industri yang sangat tinggi. Namun kelemahannya, banyak syarikat tempatan lebih tertumpu kepada pasaran domestik berbanding memburu pelanggan antarabangsa secara agresif,” ujar beliau.

Beliau turut menyentuh mengenai isu pengenaan tarif oleh Amerika Syarikat yang menjadi pengajaran besar kepada pemain industri.

“Apabila tarif dikenakan oleh kerajaan AS, syarikat swastalah yang akhirnya menanggung kesannya kerana kos produk meningkat dan pasaran eksport terjejas.

“Ini adalah satu kelemahan besar apabila supply chain sesebuah syarikat terlalu tertumpu kepada satu-satu pasaran sahaja,” tegas beliau.

Justeru, Hisham menekankan bahawa penumpuan kepada barangan perantaraan (intermediate goods) adalah kunci strategi masa depan bagi mengukuhkan kedudukan syarikat tempatan di peringkat global.

“Point yang paling penting dalam perbincangan ini ialah konsep ‘intermediate goods’. Produk seperti material semikon, pemangkin, resin dan aluminium bukanlah produk akhir pengguna, sebaliknya digunakan untuk menghasilkan produk lain.

“Model perniagaan ini bermula dari Malaysia yang membekalkan bahan semikon atau catalyst, kemudian dihantar ke Arab Saudi untuk pengeluaran kabel voltan tinggi, dan seterusnya digunakan dalam projek tenaga mega di Saudi serta negara GCC.

“Ini membina rantai bekalan Malaysia-Saudi yang memberikan peluang jauh lebih besar kerana barangan perantaraan biasanya mempunyai permintaan berulang (recurring demand) daripada kilang-kilang di sana,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles