Anwar Mahu Budaya Buli, Sikap Sombong Di Sekolah Dihentikan Segera

BUKIT MERTAJAM: Budaya buli dan sikap angkuh dalam kalangan pelajar tidak boleh dibiarkan berakar dalam institusi pendidikan negara, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tiada alasan untuk mana-mana pelajar menggunakan kekuatan atau kedudukan yang dimiliki bagi menindas rakan sebaya, apatah lagi mereka merupakan generasi yang bakal menerajui negara pada masa depan.

Menurutnya, pihak sekolah perlu mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi terhadap perbuatan buli atau tingkah laku yang mencerminkan sikap sombong.

“Tak ada tempat bagi sekolah-sekolah kita melayani orang-orang yang sombong. Yang buli kerana dia kuat sedikit, dia buli orang. Jangan tolak ansur kepada orang seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Temu Anwar Sempena Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, hari ini.

Anwar turut mengingatkan guru dan pensyarah supaya tidak memandang ringan isu berkenaan kerana pembentukan sahsiah, adab dan akhlak pelajar merupakan sebahagian penting dalam pendidikan.

Katanya, sikap bertolak ansur terhadap perlakuan yang salah boleh memberi kesan terhadap usaha membentuk generasi yang mempunyai nilai murni.

“Saya nak bagi ingatan pada anak-anak. Kepada guru-guru, kepada pensyarah. Bila kita mula tolak ansur, negara kita dan masa depan tidak akan terjamin.

“Kita nak bentuk adab tetapi akhlak tidak dijaga, nilai tidak murni,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata kes buli yang dilaporkan tidak wajar dijadikan gambaran bahawa keseluruhan pelajar di sesebuah sekolah mempunyai masalah disiplin.

Beliau berkata, dalam jumlah pelajar yang besar, hanya sebahagian kecil mungkin terlibat dalam kes buli, namun kes terbabit sering mendapat perhatian lebih besar.

“Kadang-kadang kita baca ini ada 1,000 pelajar masuk sekolah. Yang teruk buli empat orang. Dalam media cerita empat orang. Dia tak cerita 960 orang itu.

“Jadi bukanlah maksud saya nak besarkan ini cerita empat orang. Tapi saya nak bagi tahu jangan kita isi. Kita mesti bawa budaya baru,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata pembentukan budaya baharu perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak terhad kepada institusi pendidikan semata-mata.

Katanya, amalan menghina, memaki dan merendahkan orang lain juga perlu dihentikan dalam kehidupan bermasyarakat termasuk dalam dunia politik.

“Dalam dunia politik, pendidikan, yang kerja hina orang, maki orang tak ada. Jadi kita kena hentikan perkara ini,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kejayaan pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata.

Sebaliknya, katanya, ilmu perlu berjalan seiring dengan pembentukan adab dan akhlak supaya pelajar bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah mempunyai disiplin, menghormati ibu bapa serta pendidik dan mampu membina hubungan yang baik dengan orang lain.

Beliau berkata, usaha melahirkan generasi berkualiti memerlukan pelajar membudayakan sikap rajin belajar, menjaga disiplin, menghormati guru dan pensyarah serta memupuk kasih sayang sesama manusia.

BBerkaitan

Latest articles