Laporan RCI, Integriti Ahli Boleh Dipersoal – Nordin Kardi

KUALA LUMPUR: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) termasuk integriti dan kewibawaan ahli yang terlibat dalam penyediaannya tidak seharusnya dianggap sebagai perkara tabu sehingga tidak boleh dipersoalkan atau dibahaskan.

Tokoh akademik, Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi berkata, tindakan pihak berautoriti dalam bidang undang-undang yang cuba menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat berhubung perkara itu adalah tidak berasas dan bermotifkan politik.

Menurutnya, amalan penubuhan serta prosedur RCI di Malaysia merujuk kepada sistem pentadbiran di United Kingdom (UK), yang membenarkan laporan RCI dipersoalkan dan dibahaskan.

Beliau berkata, terdapat kes di UK yang menyaksikan sebahagian besar dapatan dan syor RCI ditolak selepas melalui proses perbahasan serta penelitian awam.

“Sebagai contoh, The Wakeham Commission pada 1999 di UK, laporannya didebatkan secara sengit di House of Lords dan menerima bantahan awam yang meluas sehingga kerajaan menggugurkan majoriti daripada 132 syor yang dikemukakan.

“Ahli Parlimen dan ahli House of Lords di UK juga boleh mempersoalkan keperibadian, kewibawaan mahupun konflik kepentingan ahli panel RCI dengan kebebasan yang luas di bawah hak keistimewaan Parlimen menerusi Bill of Rights 1689,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial pada Jumaat.

Nordin berkata, berdasarkan amalan itu, orang ramai tidak seharusnya ditakutkan dengan dakwaan bahawa laporan RCI tidak boleh dipersoalkan.

“Masing-masing mempunyai hak untuk mempersoalkan integriti ahli RCI sepanjang proses menyediakan laporan tersebut,” katanya.

Mengulas pertikaian yang dibangkitkan parti politik termasuk Pas dan Barisan Nasional (BN), Nordin berkata isu berkenaan bukan berkaitan penubuhan RCI, sebaliknya menyentuh laporan yang dihasilkan serta integriti ahli suruhanjaya ketika menjalankan tugas.

Beliau turut membidas tindakan pihak tertentu yang mengaitkan nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam isu berkenaan, yang menurutnya boleh menimbulkan rasa gentar dalam kalangan rakyat daripada membahaskan kandungan laporan RCI.

“Mempersoalkan laporan RCI dan ahlinya tidak sama sekali bermaksud mempersoalkan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda.

“Perbuatan menakutkan orang ramai ini adalah suatu langkah berunsur politik yang tidak sihat dan tidak berniat untuk memandaikan rakyat,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles