Tiada Lagi Jalan Baik Buat PAS-BERSATU? Abdul Hadi Beri Bayangan Hubungan Sukar Dipulihkan

KUALA TERENGGANU: Tiada lagi jalan untuk memperbaiki hubungan PAS dan BERSATU selepas kedua-dua parti itu kini berdepan perbezaan pendirian yang semakin melebar.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memberi bayangan bahawa hubungan politik kedua-dua parti itu sukar untuk diselamatkan susulan keputusan BERSATU bertanding menentang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos lalu.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, kenyataan pemimpin BERSATU yang membuka kemungkinan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka turut menjadi antara faktor yang diambil kira PAS.

“Ya lah, pada dasarnya dia (BERSATU) lawan kita pada PRN Negeri Sembilan. Dan ada kenyataan nak ikut bersama dengan PH,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, hari ini.

Abdul Hadi ditanya mengenai kemungkinan kedua-dua parti itu kembali berdamai selepas PAS sebelum ini memutuskan untuk menamatkan hubungan kerjasama politik dengan BERSATU.

Keputusan itu dibuat pada 8 Jun lalu menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS selepas parti berkenaan menilai kedudukan serta hala tuju kerjasama politik kedua-dua parti berdasarkan perkembangan semasa.

Kerenggangan hubungan PAS dan BERSATU semakin ketara pada PRN Negeri Sembilan apabila BERSATU menggunakan lambangnya sendiri ketika bertanding.

Langkah itu diambil selepas BERSATU mendakwa parti berkenaan tidak dilibatkan dalam rundingan pembahagian kerusi PN.

Perkembangan berkenaan turut membuka kemungkinan kepada perubahan pakatan politik menjelang PRN Melaka.

Ketua Penerangan BERSATU Melaka, Hishamuddin Abdul Karim, sebelum ini dilaporkan berkata parti itu terbuka untuk berbincang dengan mana-mana parti yang mempunyai persamaan, termasuk PH.

Jika pendirian itu diteruskan, ia berpotensi merumitkan lagi usaha untuk mengembalikan kerjasama antara PAS dan BERSATU di bawah PN.

BBerkaitan

Latest articles