KUALA PILAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau memilih untuk berkhidmat kepada rakyat, bukannya menggunakan jawatan bagi mengumpul kekayaan peribadi, sambil menegaskan amanah yang diberikan rakyat tidak boleh dikhianati demi kepentingan sendiri.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, keutamaan pentadbirannya adalah memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara melalui tadbir urus yang bersih, berintegriti dan berkesan, bukannya mengejar kemewahan ketika memegang tampuk kuasa.
“Saya pilih kerja untuk khidmat. Saya pergi mana-mana, janji saya ialah berkhidmat kepada rakyat. Tetapi apa ertinya khidmat kalau saya sibuk memunggah kekayaan daripada rakyat?” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Dataran Melang,, malam tadi.
Anwar berkata, seseorang pemimpin yang diberi mandat oleh rakyat perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah yang dihadapi masyarakat, khususnya isu-isu asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian.
Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Perpaduan telah meluluskan peruntukan berjumlah ratusan juta ringgit bagi membaik pulih kuarters serta balai polis yang uzur, selain menaik taraf tandas sekolah di seluruh negara demi memastikan kemudahan lebih selesa kepada warga pendidik dan pelajar.
Menurut beliau, kerajaan turut memberi perhatian kepada penyelesaian isu legasi Felda, termasuk mengurangkan beban hutang yang ditanggung agensi itu serta menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik bagi projek perumahan generasi kedua peneroka.
Tegas Anwar, segala usaha tersebut membuktikan kerajaan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat, dan beliau tidak akan membiarkan kritikan atau tohmahan daripada mana-mana pihak mengganggu fokus pentadbirannya.
“Kita akan terus bekerja dan berkhidmat untuk rakyat. Itu amanah yang mesti dilaksanakan, bukan menggunakan kuasa untuk memperkayakan diri,” katanya.










