Kor Ming ‘Poster Boy Kedua’ BN, Kenyataan Kontroversi Cetus Kemarahan Pengundi Melayu Di Johor

KUALA LUMPUR: Beberapa siri kenyataan kontroversi Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor didakwa mencetuskan kemarahan pengundi Melayu sehingga menjadi antara faktor utama kekalahan Pakatan Harapan (PH).

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming berkata, kenyataan-kenyataan dibuat Kor Ming bukan sahaja mengundang reaksi negatif, malah mendorong lebih ramai pengundi Melayu keluar mengundi bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, antara kenyataan yang paling memberi kesan ialah ikrar Kor Ming untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan daripada hukuman penjara dalam kes SRC International.

“Kita boleh lihat banyak perkara yang diperkatakannya semasa dan sebelum kempen telah mencetuskan reaksi negatif.

“Ini pada asasnya menyebabkan pengundi Melayu berkata, ‘Saya akan keluar mengundi dan pastikan BN menang, bukannya Pakatan Harapan.’ Perkara itu turut menjejaskan banyak kerusi yang ditandingi PKR dan Amanah,” katanya dalam program The Breakfast Grille terbitan BFM.

Mengulas lanjut, Kian Ming turut menyifatkan Kor Ming sebagai “poster boy” kedua BN pada PRN Johor kerana kenyataan kontroversinya secara tidak langsung membantu meningkatkan sokongan terhadap gabungan itu.

Katanya, selain Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menjadi wajah utama kempen BN, Kor Ming turut memainkan peranan tanpa disedari apabila tindakannya mencetuskan gelombang sokongan kepada parti lawan.

Pandangan itu turut dipersetujui Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Elizabeth Wong yang menyifatkan cadangan Kor Ming untuk menggantikan kesemua 123 ketua kampung baharu di Johor dengan lantikan DAP sebagai satu kenyataan yang menimbulkan masalah.

Menurutnya, kenyataan tersebut bukan sahaja menyinggung perasaan masyarakat Melayu, malah turut membimbangkan komuniti Cina kerana ketua-ketua kampung berkenaan mempunyai hubungan rapat dengan penduduk setempat.

“Apabila kedudukan mereka dilihat terancam, sukar untuk kita mengharapkan mereka memberikan sokongan kepada PH,” katanya.

Pada PRN Johor, BN mencatat kemenangan besar apabila menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH hanya memenangi lapan kerusi, berkurangan daripada 12 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya negeri 2022.

Perikatan Nasional (PN) pula gagal memenangi sebarang kerusi.

BBerkaitan

Latest articles