‘Dia pengkhianat, cuba tikam Tok Min dari belakang’ – Anthony Loke

​KUALA PILAH: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mendedahkan wujudnya cubaan ‘menikam dari belakang’ oleh seorang individu yang didakwa cuba merebut jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan dengan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sebelum ini.

​Tanpa mendedahkan nama individu berkenaan, Anthony menyifatkan watak tersebut sebagai seorang ‘pengkhianat’ yang sanggup menggunakan peluang ketika krisis politik berlaku demi kepentingan peribadi.

​Menurut beliau, individu tersebut bertindak menarik sokongan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (Tok Min) dalam usaha untuk meruntuhkan pentadbiran sedia ada.

​”Untuk menyelesaikan keadaan di Negeri Sembilan, mereka memilih peluang krisis itu untuk menikam kita daripada belakang, menarik sokongan daripada Tok Min dan cuba jatuhkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

​”Orang itu adalah pengkhianat dan penderhaka kepada sistem Raja Berperlembagaan di Negeri Sembilan!” katanya lantang.

​Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di Dataran Melang, malam tadi.

​Mengulas lanjut, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban memberikan amaran keras sekiranya individu yang dimaksudkan itu dicalonkan oleh pihak lawan sebagai calon Menteri Besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

​Tegas beliau, jentera PH dan Barisan Nasional (BN) sedia menggandakan usaha untuk menolak kemasukan watak pengkhianat sedemikian daripada menerajui pentadbiran negeri.

​”Kalau orang itu nak jadi calon Menteri Besar, kita lawan habis-habisan!

​”Tak payah saya sebut nama siapa orang itu, saya rasa semua pun dah tahu,” ujarnya.

​Dalam pada itu, Anthony menyeru rakyat Negeri Sembilan untuk terus mengekalkan momentum pentadbiran PH-BN yang terbukti bersih, cekap dan berjaya membawa pelbagai pelaburan besar ke negeri berkenaan.

​Beliau turut mengingatkan pengundi agar tidak terperangkap dengan dakyah politik perkauman sempit yang cuba dimainkan oleh pihak lawan bagi memecah-belahkan keharmonian masyarakat majmuk di negeri itu.

​”Jangan kita terpengaruh dengan sentimen perkauman. Kita tolak politik perkauman!

​”Kita mahu membina politik yang ada harapan. Sebab itu slogan kita adalah ‘Kekal Harapan’ untuk memastikan Negeri Sembilan terus maju, stabil dan makmur di bawah kepimpinan yang berintegriti,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles