Mat Sabu Kasihan Pada Anwar, Jadi Sasaran Kecaman Walaupun Banyak Berkorban

KUALA PILAH: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu meluahkan rasa simpati terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya terus menjadi sasaran kecaman biarpun telah melakukan pelbagai pengorbanan demi memulihkan ekonomi negara.

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Anwar sanggup mengenepikan kepentingan peribadi, termasuk tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri, namun usaha berkenaan masih tidak mendapat penghargaan sewajarnya daripada segelintir pihak.

Menurutnya, apa yang lebih dikesalkan ialah kebanyakan serangan terhadap Anwar didakwa tidak berasaskan fakta, sebaliknya digerakkan bagi membentuk persepsi negatif terhadap kerajaan.

“Beliau mengorbankan diri, tetapi kadang-kadang tidak dihargai. Bagi Perdana Menteri, beliau tidak kisah sama ada dihargai atau tidak, asalkan ekonomi Malaysia dapat diselamatkan demi rakyat.

“Semua orang tahu beliau tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri. Beliau hanya mengambil elaun sebagai Ahli Parlimen, manakala isterinya juga seorang Ahli Parlimen. Namun pengorbanan besar ini langsung tidak dinilai oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Dataran Melang, malam tadi.

Mohamad berkata, kritikan yang dilemparkan terhadap Anwar lebih bersifat serangan politik berbanding kritikan yang berpaksikan fakta dan prestasi pentadbiran kerajaan.

Katanya, tindakan itu bertujuan membina persepsi buruk terhadap kepimpinan kerajaan walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memulihkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

“Beliau dihentam dengan pelbagai tuduhan. Kita tahu hentaman itu bukan berdasarkan fakta, tetapi lebih kepada emosi untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap kerajaan.

“Biarlah jika ada yang tidak mahu menghargai usaha ini. Saya yakin rakyat Negeri Sembilan mampu menilai sendiri segala usaha yang dilakukan Perdana Menteri dan kepimpinan Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa rakyat Negeri Sembilan akan terus memberikan sokongan kepada PH berdasarkan prestasi pentadbiran dan pencapaian kerajaan, bukannya dipengaruhi dakwaan yang tidak berasaskan fakta.

BBerkaitan

Latest articles