Kes Fitnah: Bekas KPN Gagal Keputusan Rayuan Saman Fitnah Hannah

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan gagal dalam usaha terakhirnya untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan apabila Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak permohonan beliau bagi mendapatkan kebenaran merayu dalam kes saman fitnah yang difailkan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Rhodzariah Bujang bersama Hakim Che Ruzima Ghazali dan Hakim Azmi Ariffin.

Panel berkenaan memutuskan sembilan persoalan undang-undang yang dikemukakan Musa tidak menimbulkan sebarang isu baharu atau kepentingan awam yang memerlukan penelitian Mahkamah Persekutuan.

Antara isu yang dibangkitkan dalam permohonan itu ialah berkaitan kapasiti seseorang pegawai awam untuk memfailkan saman fitnah serta soal penyebaran ucapan kepada khalayak.

Susulan keputusan tersebut, penghakiman Mahkamah Rayuan sebelum ini kekal berkuat kuasa, sekali gus mewajibkan Musa membayar ganti rugi RM250,000 kepada Hannah selain kos guaman RM50,000.

Hannah memfailkan saman terhadap Musa pada 2020 selepas bekas Ketua Polis Negara itu didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengaitkannya dengan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah “negara Kristian”.

Dalam satu forum, Musa turut mendakwa terdapat kumpulan yang dikaitkan dengan DAP sedang berusaha memusnahkan Islam di negara ini, selain mendakwa Hannah menulis buku Becoming Hannah: A Personal Journey bagi tujuan menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.

Pada Januari lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan kenyataan yang dibuat Musa dalam sebuah forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) enam tahun lalu adalah bersifat memfitnah kerana memberi gambaran buruk terhadap Hannah sehingga mendedahkannya kepada kebencian dan cemuhan, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.

Mahkamah turut mendapati Musa telah mengaitkan Hannah dengan kumpulan yang disebut dalam ucapannya, sekali gus mewujudkan persepsi bahawa beliau mempunyai hubungan politik dan agama dengan kumpulan terbabit.

Dalam penghakimannya, Mahkamah Rayuan juga menegaskan tiada sebarang bukti yang menunjukkan buku Becoming Hannah: A Personal Journey digunakan Hannah untuk menyebarkan agama Kristian atau menggugat kedudukan Islam di negara ini.

Dalam prosiding di Mahkamah Persekutuan, Musa diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, manakala Hannah diwakili Razlan Hadri Zulkifli.

BBerkaitan

Latest articles