KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri Malaysia menolak dakwaan yang tular mengenai layanan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak migran dan pelarian, termasuk membabitkan komuniti Rohingya, dengan menegaskan ia tidak menggambarkan pendekatan sebenar kerajaan dalam menguruskan isu migrasi tidak teratur.
Menurut kementerian itu, dakwaan kononnya kanak-kanak dikurung tanpa pembelaan serta dinafikan keperluan asas adalah tidak tepat dan menafikan pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan bagi melindungi kebajikan golongan berkenaan.
KDN turut menjelaskan pelaksanaan inisiatif Baitul Mahabbah sebagai langkah interim bagi menyediakan penempatan sementara yang lebih sesuai untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka.
Melalui pendekatan itu, kanak-kanak terbabit dipindahkan daripada depot tahanan imigresen biasa sementara proses dokumentasi, pengesahan status dan penyelesaian lanjut dijalankan.
“Di Baitul Mahabbah, mereka ditempatkan dalam persekitaran lebih kondusif serta diberi perhatian meliputi keperluan asas, keselamatan, kesihatan, aktiviti pendidikan tidak formal, bimbingan asas dan ruang riadah yang bersesuaian dengan umur,” menurut laporan Bernama.
Tambah KDN, inisiatif itu juga merupakan langkah peralihan ke arah memperkukuh kerangka Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, badan bukan kerajaan serta rakan strategik lain.
Kementerian itu turut memaklumkan perancangan untuk memperluas skop dan kapasiti Baitul Mahabbah secara berperingkat, termasuk kepada kategori umur kanak-kanak lain, bergantung kepada kesesuaian kemudahan, aspek keselamatan serta kapasiti pelaksanaan agensi terlibat.
Dalam masa sama, KDN menegaskan pendekatan yang diambil bertujuan mengelakkan kanak-kanak daripada terus ditempatkan dalam persekitaran tahanan biasa, selain melindungi mereka daripada risiko eksploitasi, pemerdagangan orang, penyeludupan migran dan pengabaian.
KDN juga menyeru kerjasama lebih menyeluruh daripada negara asal, pertubuhan antarabangsa, rakan serantau dan pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka panjang, termasuk menangani punca migrasi paksa serta mempercepat proses penempatan semula ke negara ketiga.
Isu berkenaan timbul susulan penularan video lama membabitkan aktivis Rohingya, Noor Azizah, yang berucap di sebuah majlis graduasi di Australia, serta dakwaan berkaitan kanak-kanak Rohingya di pusat imigresen.
Sementara itu, data UNHCR menunjukkan kira-kira 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar berada di Malaysia, dengan majoritinya dari Myanmar termasuk lebih 126,000 etnik Rohingya.










