KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman mengarahkan siasatan terperinci dilaksanakan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden letupan semasa latihan ketenteraan di Kem Hobart, Gurun, Kedah yang mengorbankan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), hari ini.
Beliau turut menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan dua anggota berkenaan serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, selain mendoakan mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang amat mencabar itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.57 pagi, kedua-dua anggota terbabit dilaporkan mengalami kecederaan selepas berlaku letupan ketika menyertai Latihan Membaling Grenad yang merupakan sebahagian daripada Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia.
Mangsa dikenal pasti sebagai Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
Menurut kenyataan TDM, kedua-dua anggota itu segera dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Jenazah mangsa akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi tujuan bedah siasat sebelum urusan selanjutnya diserahkan kepada keluarga masing-masing.
TDM dalam kenyataannya memberi jaminan bahawa aspek keselamatan latihan akan terus diberi perhatian serius dan sebarang penambahbaikan yang perlu akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan.
Perkembangan lanjut berhubung insiden itu akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi Tentera Darat Malaysia.










