RESET Sedia ‘Jumpa’ Anwar Di Tambun, Bentuk Jentera Hadapi PRU16

IPOH: Gerakan RESET menyatakan komitmen untuk memperkukuh kehadiran Parti Wawasan Negara (Wawasan) di Tambun dengan menubuhkan jentera parti itu sebagai persiapan awal menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Sekretariat Gerakan RESET, Muhammad Fadhli Ismail berkata, usaha tersebut akan digerakkan sekiranya Tambun dipilih sebagai antara kawasan tumpuan Wawasan dalam memperluaskan pengaruh politiknya pada pilihan raya akan datang.

Menurut beliau, Tambun bukan sekadar sebuah kerusi Parlimen biasa, sebaliknya merupakan medan penting untuk mengetengahkan agenda perubahan serta menawarkan alternatif kepada pengundi yang mahukan landskap politik baharu.

Beliau turut menyambut baik penubuhan Wawasan yang diterajui bakal presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan menyifatkan kemunculan parti itu sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu dihormati semua pihak.

Pada masa sama, Fadhli mengingatkan pemimpin dan penyokong parti pembangkang agar tidak terjebak dalam pertelingkahan sesama sendiri sehingga menjejaskan usaha membina kekuatan bersama.

Katanya, perbezaan pendapat adalah lumrah dalam politik, namun ia perlu diuruskan secara matang tanpa mencetuskan serangan peribadi atau menjejaskan hubungan antara parti yang berkongsi matlamat untuk membawa perubahan kepada negara.

Mengulas perkembangan selepas pelancaran Wawasan, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan segelintir pihak yang lebih gemar menyerang rakan politik berbanding menumpukan perhatian kepada isu rakyat dan kelemahan kerajaan.

“Tenaga serta kekuatan akar umbi seharusnya digembleng untuk memperjuangkan kepentingan rakyat dan membina keyakinan terhadap agenda perubahan, bukannya dihabiskan dalam konflik dalaman yang hanya menguntungkan pihak lawan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles