Zaid Mahu Ubah Persepsi PAS, Dakwa Parti Islam Mampu Bina Malaysia Lebih Adil

SEREMBAN: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bertekad membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap PAS selepas secara rasmi diterima menyertai parti itu.

Menurut beliau, antara fokus utamanya ialah menangkis tanggapan bahawa PAS merupakan sebuah parti ekstrem dan anti-demokrasi yang tidak sesuai memimpin negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook, Zaid berkata beliau melihat PAS sebagai satu-satunya parti Melayu utama yang memiliki kekuatan politik dan kesungguhan untuk menangani ketidaksamarataan serta menamatkan dominasi kelompok tertentu yang menikmati pelbagai keistimewaan.

Katanya, asas perjuangan PAS yang berpaksikan prinsip Islam menjadi jaminan kepada pentadbiran yang lebih adil dan saksama untuk semua rakyat.

“Di bawah pemerintahan PAS, tidak akan berlaku keadaan di mana semua rakyat dikatakan sama rata, tetapi pada hakikatnya ada golongan tertentu yang mendapat layanan lebih istimewa berbanding yang lain,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa PAS berpotensi membentuk kerajaan bersama kumpulan Ahli Parlimen progresif yang berkongsi aspirasi sama selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengumuman penyertaan Zaid ke dalam PAS dibuat Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika menyampaikan ceramah di Seremban malam tadi.

Menurut Takiyuddin, Zaid merupakan antara 14 tokoh yang memilih untuk menyertai PAS dalam usaha memperkukuh parti menjelang landskap politik baharu negara.

Selain Zaid, beberapa tokoh politik lain turut diumumkan menyertai PAS, termasuk bekas Exco Negeri Sembilan dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Rafie Abdul Malek, bekas Exco Perak dan bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Hamidah Othman, bekas Pengerusi Parti Amanah Negara Negeri Sembilan, Rosli Yaakup serta bekas Pengerusi Kelab UMNO Manchester, Md Nizam Baharom.

BBerkaitan

Latest articles