JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang dijangka menjadi medan penting menguji sokongan rakyat terhadap gabungan itu.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Agung Tahunan BN yang dipengerusikan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Ibu Pejabat UMNO Johor, malam tadi.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan turut diberikan taklimat berkaitan kesiapsiagaan jentera pilihan raya oleh Menteri Besar Johor serta kepimpinan BN Negeri Sembilan bagi memastikan segala persiapan berjalan lancar menjelang hari pengundian.
“Fokus utama kita adalah memastikan BN berada dalam keadaan paling bersedia untuk menghadapi kedua-dua PRN ini dan seterusnya mencapai kemenangan yang dihasratkan,” katanya kepada media selepas mesyuarat berkenaan.
Zambry menjelaskan, kepimpinan tertinggi BN turut menyatakan komitmen untuk terus memperkukuhkan parti serta merangka strategi politik yang berkesan demi memastikan gabungan itu kekal relevan dan diyakini rakyat.
Dalam masa sama, beliau berkata kesepaduan antara parti-parti komponen BN dan rangkaian Friends of BN akan terus diperkukuh sebagai usaha menjamin kestabilan politik serta memperkukuhkan pentadbiran yang mendapat kepercayaan masyarakat.
Pada mesyuarat itu juga, BN memuktamadkan pendirian untuk bertanding menggunakan logo dacing pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus mengekalkan identiti tradisi gabungan berkenaan dalam menghadapi pilihan raya negeri tersebut.
Selain persiapan pilihan raya, BN turut memberi penekanan terhadap usaha memperluaskan keahlian menerusi program BN Direct Membership yang disasarkan kepada golongan profesional, belia dan masyarakat umum.
Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, langkah itu penting bagi memastikan parti terus berkembang dengan penyertaan kelompok baharu yang mampu menyumbang kepada agenda perjuangan BN.
Beliau turut menegaskan bahawa BN kekal komited mendukung Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa demi memastikan kestabilan politik negara, meningkatkan keyakinan pelabur dan menjayakan pelbagai agenda pembangunan yang telah dirancang.










