UMNO Bahagian Batu Perkukuh Kesatuan, Tekad Rampas Semula Kerusi Parlimen Batu

KUALA LUMPUR, UMNO Bahagian Batu menggesa seluruh ahlinya mengetepikan perbezaan dan memperkukuh perpaduan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang, dengan sasaran merampas semula kerusi Parlimen Batu.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, berkata konflik dalaman bukan penyelesaian kepada cabaran politik parti, sebaliknya semangat kebersamaan dan musyawarah perlu terus diperkasakan bagi memastikan UMNO kembali kukuh.

Beliau berkata pendekatan “Rumah Bangsa” dan budaya musyawarah yang diterapkan kepimpinan parti telah membantu mengembalikan kesatuan dalam kalangan ahli selepas UMNO melalui tempoh mencabar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Konflik bukan satu jalan penyelesaian. Kesatuan dan perpaduan adalah jalan terbaik untuk kita menunjukkan kekuatan parti,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Tahunan UMNO Bahagian Batu, hari ini.

Menurut beliau, UMNO Bahagian Batu kini berada dalam keadaan lebih stabil dan bersedia menggerakkan jentera parti bagi menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya.

Dalam ucapannya, Gulam Muszaffar turut menyuarakan hasrat akar umbi supaya kerusi Parlimen Batu kembali ditandingi calon UMNO selepas beberapa pilihan raya lalu diperuntukkan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata keputusan PRU15 yang menyaksikan kekalahan calon parti komponen di Batu wajar dijadikan pengajaran dalam menentukan strategi pilihan raya akan datang.

“Kita mahukan kerusi ini kembali kepada UMNO. Apa yang penting ialah memastikan parti menang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pucuk pimpinan parti mempertimbangkan pandangan akar umbi dalam menentukan calon serta pengagihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Pada masa sama, beliau berkata UMNO perlu memperkukuh gerak kerja di peringkat cawangan dan meningkatkan penguasaan dalam media sosial kerana perang persepsi kini menjadi antara faktor utama mempengaruhi sokongan rakyat.
Katanya, UMNO Bahagian Batu telah mula memberi tumpuan kepada pengukuhan jentera komunikasi digital bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada masyarakat.

Beliau turut mengingatkan ahli supaya menangguhkan sebarang persaingan berkaitan pemilihan parti sehingga selesai pilihan raya demi memastikan tumpuan sepenuhnya diberikan kepada usaha mengembalikan kemenangan BN.

“Tak guna kita berebut jawatan jika parti tidak kembali menjadi kerajaan. Yang penting sekarang ialah kita bersatu hati dan bekerja untuk kemenangan parti,” katanya.

Beliau berkata komitmen semua pemimpin cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri amat penting bagi memastikan UMNO Bahagian Batu berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi pilihan raya dan mengembalikan semula pengaruh parti di kawasan itu.

BBerkaitan

Latest articles